Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun bergambar bersama wakil sekolah-sekolah yang menerima sumbangan bantuan pelajar selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Prihatin Pelajar (Bantu) SPM 2020 Daerah Sepang di Sekolah Sungai Rawang, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 24 JULAI 2020.

SEPANG – Seramai 215 orang pelajar yang akan menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima bantuan makanan percuma menerusi “Program Bantu” Pasca Covid-19.

Bantuan berupa baucer pembelian makanan di kantin sekolah itu diberikan sebagai langkah membantu pelajar-pelajar terbabit daripada segi perbelanjaan wang saku.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, bantuan yang diperkenalkan olehnya itu merupakan perbelanjaan harian untuk membeli makanan bagi membantu pelajar dari golongan kurang berkemampuan.

Katanya, ia diberikan kepada pelajar yang pendapatan keluarganya kurang RM1,200 sebulan dan bantuan itu akan diterima pelajar untuk tempoh 92 hari.

“Mereka ini akan menerima sekitar RM3 sehari untuk membeli makanan di kantin sekolah.

“Program ini sama seperti skim Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang disediakan kepada murid-murid di sekolah rendah.

“Purata pelajar akan mendapat sebanyak RM3 sehari dan ia terpulang kepada pihak sekolah sekiranya mahu menukarnya dalam bentuk baucer,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis penyerahan bantuan kepada sembilan buah sekolah menengah kebangsaan di sekitar Sepang di sini hari ini.

Menurut Rina, sebanyak RM59,340 diperuntukkan oleh pihaknya bagi tujuan itu.

Katanya lagi, menerusi program tersebut ia diharap akan dapat meningkatkan motivasi dan tumpuan calon-calon SPM dari keluarga kurang berkemampuan dalam persediaan untuk menghadapi peperiksaan.

Selain itu ujarnya, ia mampu menyelesaikan masalah pelajar yang kerap tidak ke sekolah kerana ketiadaan wang untuk belanja makan.

Tambahnya, program yang dilaksanakan itu hampir serupa dengan yang pernah dilakukannya di kawasan Parlimen Titiwangsa melibatkan sembilan buah sekolah menengah dengan memberi manfaat kepada 135 orang pelajar pada tahun lalu. – MalaysiaGazette