kementerian yang terlibat selain JAKOA sepatutnya memainkan peranan penting untuk memastikan isu berkaitan dengan hak dan tuntutan yang diajukan oleh mereka ditangani dengan baik.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Hak komuniti Orang Asli tidak akan terjamin hanya dengan menubuhkan lembaga baharu seperti yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor.

Meskipun ia merupakan cadangan yang baik namun Biro Orang Asli Parti Sosialis Malaysia (PSM) A. Sivarajan mempertikaikan tahap keberkesanan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) selama ini yang sepatutnya berperanan untuk menjaga hak komuniti berkenaan.

Beliau mendakwa situasi itu membuktikan kerajaan tidak serius menangani masalah kebajikan komuniti berkenaan kerana pelbagai perkara asas melibatkan Orang Asli masih gagal diselesaikan termasuklah pembalakan, kemudahan kesihatan dan pendidikan.

“Kemajuan komuniti Orang Asli tidak akan terjamin dengan menambahkan satu lagi lembaga kemajuan dalam pentadbiran kini.

“Sebaliknya kemajuan dan hasrat komuniti Orang Asli atau Orang Asal akan terjamin hanya jika tuntutan hak asasi mereka yang telah diutarakan berbilang kali kepada Kerajaan dilaksanakan dengan serius.

“Tetapi malangnya, sehingga kini perkara yang menjadi asas kepada kemajuan mereka seperti, pengiktirafan tanah adat, moratorium lesen pembalakan, perlombongan, penghormatan adat resam, pemuliharaan bukit, sungai dan kehidupan liar, kemudahan kesihatan dan pendidikan yang mudah diakses diabaikan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam Ramli mencadangkan pembentukan lembaga kemajuan yang mirip dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA)
untuk membantu memajukan masyarakat Orang Asli daripada segi ekonomi.

Beliau dalam masa yang sama mencadangkan agar Orang Asli diberikan penjagaan kesihatan dan pendidikan percuma di semua peringkat.

Mengulas lanjut, tambah Sivarajan, kementerian-kementerian yang terlibat selain JAKOA sepatutnya memainkan peranan penting untuk memastikan isu berkaitan dengan hak dan tuntutan yang diajukan oleh mereka ditangani dengan baik.

“Apakah gunanya sebuah lagi autoriti dan birokrasi dalam bentuk Lembaga Kemajuan, jika agensi-agensi sebelum ini seperti JAKOA, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan masih gagal menjaga keabajikan mereka?” soal beliau.

Justeru PSM menyeru kerajaan merujuk resolusi-resolusi yang dibuat dalam Persidangan Orang Asli Kebangsaan anjuran Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada tahun lalu.

Antara resolusi penting yang telah diputuskan pada waktu itu adalah Penubuhan Majlis Adat dan Resam Orang Asli, Penubuhan Tribunal Tuntutan Tanah Adat Orang Asli dengan bantuan guaman, mengekalkan hutan dan pengharaman aktiviti pembalakan di kawasan Orang Asli serta menggubal undang-undang yang mengiktiraf tanah atau wilayah adat Orang Asli.

Selain itu turut diputuskan adalah mewujudkan peruntukan pendaftaran tanah berasakan sistem amalan komuniti dengan rundingan bersama Majlis Tanah Negara, mewartakan kawasan tambahan Orang Asli dan menyerahkan tanah Rizab yang sedia ada kepada masyarakat Orang Asli yang tinggal dikawasan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast