Ketua Polis Daerah KLIA, ACP Zulkifli Adamshah menunjukkan dadah jenis syabu yang diletakkan di dalam bagasi selepas Sidang Media mengenai tangkapan dadah jenis syabu di Bangunan AMC, Ibu Pejabat Daerah KLIA. foto MOHD ADZLAN, 24 JULAI 2020.

SEPANG – Dua remaja termasuk seorang pelajar Insititusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Sarawak yang menjadi keldai dadah buat kali pertama ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Kedua-duanya yang berusia 22 dan 19 tahun itu dikatakan cuba membawa keluar dadah jenis syabu bernilai RM440,000 ke Sarawak.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamsah berkata, kedua-dua suspek berkenaan diupah RM600 untuk setiap kilogram dadah oleh sindiket yang berpusat di Sarawak untuk mendapatkan bekalan di Selangor dan diseludup masuk ke Sarawak dengan menjadikan klia2 sebagai pintu utama pengedaran.

Bagaimanapun katanya, bertindak atas maklumat pada 22 Julai lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA berjaya menangkap kedua-dua suspek berkenaan dan merampas sejumlah dadah yang disembunyikan dalam dua bagasi berwarna silver.

“Tangkapan pertama adalah sekitar jam 3.45 petang yang mana suspek pertama berusia 22 tahun ditahan di kawasan pelepasan klia2 dan hasil pemeriksaan ke atas bagasi suspek berjaya merampas lima bungkusan teh Cina bertulis Guan Yin Wang mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 5.293 kilogram bernilai RM200,000.

“Suspek yang ditangkap itu adalah seorang penganggur dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau serta hasil ujian saringan urin suspek negatif dadah,” katanya dalam sidang media kejayaan itu di ibu pejabat di KLIA hari ini.

Tambah Zulkifli, dalam tangkapan kedua, setengah jam kemudian iaitu jam 4.15 petang, suspek pelajar IPTA Sarawak ketika itu sudah daftar masuk dan menunggu di pintu pelepasan domestik klia2 untuk penerbangan ke Miri ditahan dan mendapati di dalam begnya mengandungi dadah.

Katanya, hasil pemeriksaan dibuat ke atas bagasi suspek berjaya membawa kepada enam bungkusan teh Cina disyaki mengandungi dadah jenis Syabu seberat 6.341 kilogram bernilai RM240,000.

“Hasil soal siasat lanjut ke atas suspek mendapati masih menuntut di sebuah institusi awam di Sarawak dan tidak mempunyai apa-apa rekod lampau jenayah atau bersangkut dadah serta ujian saringan urin mendapati negatif dadah.

“Kedua-dua suspek telah direman bermula 23 hingga 29 Julai ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk disiasat lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati,” tegasnya.

Zulkifli juga menjelaskan bahawa kedua-dua suspek saling mengenali itu tiba ke Selangor pada 21 Julai lalu untuk menerima bekalan dadah bagi proses membawa semula ke Sarawak untuk diserahkan kepada sindiket dan pembeli.

Tegasnya,pihaknya sedang bekerjasama dengan Narkotik IPK Selangor untuk mengenalpast dan menjejaki sindiket berkenaan dan juga pembekal barang terlarang itu.

Ditanya bagaimana suspek termasuk pelajar IPTA berkenaan dapat terpengaruh dan dipujuk sindiket untuk menjadi kaldai dadah, Zulkifli tidak menolak kemungkinan faktor penutupan pengajian akibat Covid-19 mendesak pelajar mencari pendapatan sambilan menerusi kenalan rapatnya berhubung dan terlibat dalam kegiatan terlarang itu.

‘Justeru sindiket berkenaan mungkin anggap kawalan pemeriksaan dilonggarkan di KLIA dan klia2 akibat terlalu tertumpu Covid-19 dan mulakan aktiviti terlarang mereka.

“Namun kami sudah menempatkan pegawai dan anggota di kedua-dua lapangan terbang utama ini terutama di pintu pelepasan untuk memperketatkan kawalan bagi membanteras sebarang aktiviti dadah di pintu udara,” tegas beliau.-MalaysiaGazette