KUALA LUMPUR – Sebanyak 21 daerah di seluruh negara berada dalam zon kuning selepas merekodkan pertambahan kes Covid-19 semalam.

Zon kuning adalah daerah yang merekodkan antara 1 hingga 40 kes Covid-19.

Kawasan-kawasan itu ialah Kluang (18 kes), Sepang (11).

Manakala Titiwangsa, Kuantan, Johor Bharu dan Kota Samarahan, Sarawak (3 kes) serta Gombak, Hulu Langat dan Lembah Pantai dan Kemaman, Terengganu (dua kes).

Di Semenanjung, Cheras, Petaling, Kepong, Kota Bharu, Alor Gajah, Seremban dan Kota Tinggi pula merekodkan masing-masing dengan satu kes.

Di Sabah tiga kawasan merekodkan satu kes iaitu Tawau, Kota Kinabalu dan Nabawan.

Kuching diisytiharkan dalam zon merah dengan 41 kes.

Sehingga 12 tengah hari semalam, sebanyak 23 kes baharu Covid-19 direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 8,884 kes, kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, bagi tempoh tersebut sebanyak 17 kes pulih dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 167 kes dan mereka kini telah diasingkan serta diberi rawatan.

Daripada 23 kes baharu itu, enam adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan empat adalah rakyat tempatan dan dua warga asing yang dibenarkan masuk ke negara ini atas urusan kerja.

Dr Noor Hisham berkata, negara mungkin berdepan peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 dalam tempoh terdekat jika kadar kebolehjangkitan atau R-naught (R0) naik lebih 1.6.

Ketika ini kadar R0 telah naik kepada 1.36 berbanding 0.3 ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berakhir 9 Jun lalu.
Kenaikan nilai R0 berlaku susulan peningkatan kes dan pengesanan beberapa kluster baharu.
Jika R0 meningkat, ini bererti semakin ramai akan dijangkiti dan membahayakan sekiranya meningkat lebih 1.6. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast