Menurut MITI, Menteri-Menteri Perdagangan (MRT) APEC menerusi mesyuarat secara maya atau digital yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Sabtu, telah mengeluarkan satu kenyataan yang jelas menggariskan komitmen APEC untuk menyokong usaha Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan melonjakkan usaha dalam inisiatif kemudahan perdagangan selain memperkukuh rantaian bekalan blok ekonomi itu.
“Kenyataan itu turut mengiktiraf kepentingan persekitaran perdagangan dan pelaburan yang bebas, terbuka, tiada diskriminasi, telus serta dijangkakan di APEC bagi memacu pemulihan ekonomi ketika tempoh mencabar ini,” kata kenyataan MITI.
“Malaysia menyambut baik deklarasi itu kerana ia melambangkan komiten tidak berbelah bahagi bagi memastikan gangguan minimum terhadap aliran pergerakan barang-barang penting, terutamanya ketika krisis ini,” kata beliau dalam kenyataan itu.
Menurut Mohamed Azmin, langkah itu juga merupakan satu kejayaan bermakna kerana Malaysia adalah pencadang deklarasi berkenaan.
Selain itu, MITI berkata Malaysia turut menyambut baik kemajuan membabitkan inisiatif-inisiatif lain dalam APEC sebagai maklum balas terhadap pandemik COVID-19 seperti usaha fasilitasi pergerakan penduduk, sebuah digital bagi pertukaran maklumat serta cadangan bagi mewujudkan dana kecil APEC bagi menangani COVID-19 serta kemudahan pemulihan ekonomi.
“Tidak kurang pentingnya, Malaysia yang dipertanggungjawabkan sebagai ekonomi bagi menerajui draf Visi Pasca 2020 yang akan berperanan sebagai dokumen rujukan APEC bagi tahun-tahun akan datang, juga menyambut baik gesaan menteri-menteri mengenai visi yang bermakna dan mampu dicapai,” katanya.
Mesyuarat MRT secara maya itu adalah yang pertama seumpamanya serta turut memaparkan kepimpinan Malaysia dalam menerajui kebiasaan baharu blok dengan mempengerusikan serta menjadi tuan rumah dalam format digital sepenuhnya.
Selain itu, mesyuarat sama turut disertai oleh Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) serta pemerhati dari Sekretariat ASEAN dan Majlis Kerjasama Ekonomi Pasifik (PECC). – MalaysiaGazette