Logo MPKj

BANGI – Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menafikan pihaknya ada meminta wang dan secara sengaja melewatkan kelulusan kebenaran operasi Bazar Malam Seksyen 9 Bangi di sini.

Dfahamkan penafian itu ada kaitan dengan maklumat menerusi satu penghantaran aplikasi Whatsapp oleh pihak penganjur kepada Setiausaha Sulit Menteri Besar Selangor baru-baru ini.

MPKj menerusi satu kenyataan media hari ini memaklumkan pihaknya membuat dua laporan polis pada 20 dan 21 Julai lalu berkaitan tohmahan daripada pihak penganjur dan peniaga yang Jabatan Perlesenan dan Penjaja meminta wang dan secara sengaja melewatkan kelulusan kebenaran untuk operasi bazar tersebut.

Bagaimanapun tidak diketahui adakah kenyataan media itu adalah oleh MPKj sahih atau tidak kerana tiada tanda tangan sesiapa dalam kenyataan media tersebut.

Kenyataan itu turut menyebut penganjur Eta Global Resources Sdn Bhd telah menyerahkan senarai nama peniaga sebanyak 77 orang ke Jabatan Perlesenan dan Penjaja pada 13 Julai lalu.

Bagaimanapun permohonan itu ditolak pada 14 Julai lalu kerana penganjur masih gagal memenuhi syarat teknikal seperti permit bangunan sementara, pengurusan sampah dan keperluan perancangan.

Sedangkan telah dilaporkan kelulusan bersyarat peniaga telah pun diberikan dari 1 Februari hingga 31 Julai ini.

“Pada 1 Disember tahun lalu, MPKj mengeluarkan kompaun sebanyak RM25,000 terhadap penganjur kerana menjalankan kerja tanah tanpa kelulusan.

“Pada 18 Jun lalu, MPKj menerima aduan isu teknikal dari Jabatan Pengairan dan Saliran Hulu Langat.

“Pada 8 Julai, MPKJ mengeluarkan surat kelulusan kerja tanah kecil dengan beberapa syarat,” kata kenyataan yang sama.

Tambah kenyataan itu, MPKj menerima permohonan bagi penyambungan semula bazar malam daripada penganjur pada 13 November tahun lalu dan memutuskan pemberian kelulusan bersyarat selama enam bulan bermula 1 Februari lalu hingga 31 Julai ini.

Beberapa syarat teknikal turut disertakan yang perlu dipenuhi sepanjang enam bulan itu.

Media sebelum ini melaporkan ratusan peniaga Bazar Malam Seksyen 9 Bangi kecewa kerana dibenar niaga hanya tiga hari sahaja iaitu dari 15 Mac hingga 17 Mac lalu walaupun memiliki lesen sah dari 1 Februari hingga 31 Julai lalu.

Sementara itu, Presiden IKHLAS, Datuk Mohd Ridhuan Abdullah yang mewakili peniaga bazar malam terbabit berkata, kenyataan MPKj agak mengelirukan, peniaga dibenarkan berniaga pada 20 Julai sedangkan awal kata dibenar niaga 1 Februari lalu.

“Jika dibenarkan berniaga 20 Julai lalu maka lesen sepatutnya tamat 19 Disember ini tetapi dibenar niaga 20 Julai lalu dan tamat niaga 31 Julai ini sahaja?

“Di manakah atau apakah yang telah dilaporkan yang dikatakan tidak benar itu? Harap MPKj nyatakan manakah apakah yang didakwa sebelum ini tidak benar, pihak kami bersedia untuk membuat pembetulan,” katanya.

Malah menurutnya, Ahli Majlis MPKj, Mohd Fauzi Hasim turut hadir sama semasa sidang media oleh peniaga dan penganjur yang turut dihadiri oleh PEMA dan IKHLAS tempohari.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast