Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Pengecualian cukai jualan kereta telah menyebabkan harga jualan menurun antara dua hingga enam peratus dan  pihak perusahaan juga akan melancarkan banyak promosi untuk merangsang jualan.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia, Datuk Aishah Ahmad berkata,  pengumuman kerajaan untuk mengecualikan cukai jualan sehingga akhir tahun melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) telah merangsang pasaran yang sangat malap pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Beliau menjangkakan dasar kerajaan itu akan terus memainkan peranan untuk menyuntik momentum kepada jualan kereta.

Katanya kepada China Press, penurunan kadar faedah juga merupakan satu faktor positif yang akan menyumbang kepada jualan.

Beliau berkata demikian kepada akhbar itu sebagai mengulas keputusan Persatuan Automotif Malaysia yang menaikkan sasaran jualan tahun ini, walaupun jualan kereta telah merudum khususnya pada tempoh PKP.

Sebanyak 174,675 buah kereta dijual pada separuh tahun pertama 2020, iaitu menjunam 41.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Dengan pengumuman pengecualian cukai jualan kereta, pihak persatuan telah menyelaras sasaran jualan tahunan daripada 400,000 buah kepada 470,000 buah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast