Rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara mulai semalam diarah menjalani proses kuarantin wajib di Stesen Kuarantin ditetapkan kerajaan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Anggaran kos bagi setiap individu yang dikuarantin wajib selama 14 hari di Stesen Kuarantin adalah sebanyak RM4,700.

Namun, bayaran maksimum yang perlu dibayar oleh rakyat Malaysia ialah RM2,100 atau 44.7% daripada kos keseluruhan.

Baki sebanyak RM2,600 atau 55.3% ditanggung oleh kerajaan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kos itu membabitkan caj bilik hotel dan makan tiga kali sehari.

Kos yang ditanggung oleh kerajaan termasuk kos pengangkutan dari pintu masuk sempadan ke Stesen Kuarantin, kos makan minum serta peralatan PPE petugas kesihatan, keselamatan dan sekretariat serta kos pembersihan dan nyah kuman di Stesen Kuarantin.

Bermula 24 Julai lalu, kerajaan memutuskan semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan warga asing yang dibenarkan masuk ke Malaysia perlu menjalani perintah kuarantin wajib 14 hari di Stesen Kuarantin yang ditetapkan kerajaan.

Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai sehingga 27 Julai 2020, seramai 1,631 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di sembilan Stesen Kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Johor.

Mereka ini balik dari 22 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda dan Australia.

Dalam kenyataan berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, Ismail Sabri berkata, polis telah melakukan 1,776 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing, semalam

Katanya, pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu-individu tebabit bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, seramai 210 individu telah ditahan atas kesalahan ingkar arahan PKP.

Daripada jumlah itu, seramai 10 individu telah direman manakala 1 individu dijamin dan 199 individu dikenakan kompaun.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pub dan kelab malam (72) dan aktiviti yang tidak mengikuti SOP (138).  – MalaysiaGazette