Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah

PASTI ramai yang cukup terkesan apabila membaca ciapan Twitter Ketua Pengarah
Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, “Sudah terang lagi bersuluh, setiap hari
Kementerian Kesihatan mengingatkan rakyat Malaysia patuh kepada SOP untuk
penjarakan selamat sekurang-kurangnya 1m, memakai topeng dan kerap cuci tangan.
“Sedih bila melihat keadaan begini tiada kawalan kendiri”, merujuk kepada
himpunan orang ramai tanpa mematuhi penjarakan sosial di Kompleks Mahkamah
Kuala Lumpur semalam.

Penulis tidak mahu dan tidak berniat untuk mengulas atau menyentuh soal keputusan
mahkamah mahupun solidariti yang ditunjukkan oleh para penyokong kepada pemimpin
mereka, tetapi yang menjadi perhatian di sini ialah isu ketidakpatuhan terhadap SOP
dalam perhimpunan tersebut yang telah ditekankan berulang kali oleh pihak berkuasa.
Setiap hari pihak berkuasa mengingatkan kita agar patuhi SOP yang telah ditetapkan dan
jauhi perhimpunan besar-besaran seperti ini agar dapat memutuskan rantaian penularan
wabak Covid-19, namun sedihnya masih ramai yang leka dan cuai.

Dalam konteks ini, kita boleh memahami kekecewaan hati Dr Noor Hisham kerana dari
hari pertama negara diserang wabak Covid-19 sehingga ke sekarang, beliau dan
pasukannya bertungkus lumus dan bekerja keras siang dan malam untuk menangani
wabak ini. Mereka bekerja umpama tanpa mengira masa dan terpaksa melakukan
pelbagai pengorbanan demi memberikan rawatan yang terbaik kepada pesakit yang
dijangkiti virus, di samping berusaha keras untuk mencegah penularan wabak. Maka,
apakah ini balasan kita kepada kerja keras barisan petugas hadapan tersebut? Jadi
kekecewaan Dr Noor Hisham adalah sangat wajar dan berasas. Masyarakat perlu sedar, kalau kita tidak mampu membantu sekalipun janganlah menyusahkan lagi pihak berkuasa. Patuhi SOP dan dengarlah nasihat yang telah diberikan
oleh pihak berkuasa demi keselamatan diri, keluarga dan anggota masyarakat yang lain.

Jangan lupa virus ini masih ada bersama kita dan kita belum menang dalam peperangan
memerangi wabak yang sedang mengganas ini. Oleh itu setiap tingkah laku kita yang
tidak mematuhi SOP boleh mengundang pelbagai risiko dan ancaman.
Hargailah kerja keras dan pengorbanan para petugas barisan hadapan, jangan kita
mensia-siakan segala usaha mereka begitu saja. Tindakan berhimpun ramai-ramai tanpa
mematuhi SOP jelas bakal mengundang padah. Hal ini kerana kita tidak pasti berama
ramai peserta dalam perhimpunan itu ada gejala mahupun sudah sedia dijangkit virus
tersebut.

Apapun nasi sudah menjadi bubur. Kita tidak mampu berpatah balik, cuma boleh berdoa
agar perhimpunan semalam tidak mencetuskan kluster baharu. Cukuplah dengan kluster
yang sedia ada dan trend kes baharu yang turun naik dan membimbangkan. Jangan kita
menambah lagi “kesengsaraan” para petugas barisan hadapan. Kasihanilah mereka,
hormatilah mereka, pikullah tanggungjawab untuk menjaga diri dan keluarga masing-
masing. Jangan pada akhirnya sikap dan tingkah laku kita sendiri memaksa pihak
kerajaan menguatkuasakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tuntasnya, jangan sekadar melaungkan slogan keramat “Kita Jaga Kita” tetapi hakikatnya
kita sendiri menyusahkan semua pihak dan cakap tak serupa bikin. Ayuh marilah kita letak titik noktah kepada penularan wabak ini. Jangan leka dan cuai lagi, pastikan sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Kurangkan beban petugas barisan hadapan dengan memikul tanggungjawab untuk menjaga diri dan keluarga masing-masing.

Maafkan kami Dr Noor Hisham kerana masih cuai dan leka.

Noor Mohamad Shakil Hameed, penganalisis isu semasa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. ….sedih juga akan hal ini. Tapi kenapa luahan hati ini dinyatakan secara kusus kepada himpunan di mahkamah 28hb July.???

    Semasa himpunan BLACK OUT tun M tidak pula??!!

    Secara jujurnya kalau sedih…biarlah nyatakan secara UMUM. Jadi secara tidak langsung, tanggapan berat sebelah pada Dr, tidak akan ada.

    Maafkan saya…sekadar memberi pendapat.

Comments are closed.