KUALA LUMPUR – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perusahaan kecil dan sederhana negara bagi tahun 2019 berkembang 5.8 peratus berbanding 6.2 peratus pada tahun sebelumnya.

Prestasi ini mengatasi pertumbuhan KDNK Malaysia dan KDNK bukan PKS, yang masing-masing mencatatkan pertumbuhan 4.3% dan 3.4%.

Sumbangan KDNK PKS meningkat kepada 38.9% daripada 38.3% pada tahun 2018.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai ditambah PKS bagi sektor Perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan 7.4% berbanding 8.1% pada tahun 2018.

Momentum pertumbuhan ini dipacu oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan yang bertumbuh kepada 7.6% peratus.

Subsektor kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan yang berkembang kepada 7.7% juga telah menyokong momentum pertumbuhan tersebut.

Bagi sektor pembuatan, nilai ditambah PKS bertumbuh sederhana kepada 4.5% yang diterajui oleh produk petroleum, kimia, getah dan plastik dengan pertumbuhan 4.3%.

Selain itu, kedua-dua produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka dan subsektor makanan, minuman dan tembakau, masing-masing mencatatkan pertumbuhan perlahan pada 4.9% dan 3.2%.

Menurut beliau lagi, nilai ditambah PKS bagi sektor pertanian meningkat kepada 2.3 peratus setelah mencatatkan pertumbuhan 0.3 peratus pada tahun sebelumnya.

Prestasi yang memberangsangkan ini disebabkan oleh subsektor getah, kelapa sawit, ternakan & pertanian lain dengan pertumbuhan 3.5% berbanding 0.7% pada tahun 2018.

PKS bagi sektor perlombongan dan pengkuarian meningkat kepada 4.7% manakala, sektor pembinaan bertumbuh sederhana kepada 0.1%.

”Eksport PKS mencatatkan pertumbuhan 2.6% kepada RM176.3 bilion didorong oleh sektor perkhidmatan (3.5%) dan pembuatan (2.0%).

”Manakala eksport PKS bagi sektor pertanian pada tahun 2019 adalah RM2.3 bilion yang merekodkan pertumbuhan -9.8% disebabkan oleh penurunan dalam eksport PKS sayur-sayuran, perikanan, ayam, pisang dan buah-buahan tropika lain.

Walau bagaimanapun, eksport durian (termasuk segar, sejuk beku, ulas dan pes) mencatatkan peningkatan 32.2% pada tahun 2019 kepada RM423.7 juta berbanding RM320.5 juta pada tahun sebelumnya.

Destinasi utama eksport PKS durian adalah China (61.8%), Singapura (14.8%) dan Hong Kong (8.4%).

Katanya, sumbangan eksport PKS kepada jumlah eksport pada tahun 2019 adalah 17.9%, yang mana 9.1% adalah daripada sektor perkhidmatan, manakala sektor pembuatan dan pertanian masing-masing menyumbang sebanyak 8.6% dan 0.2%.

Mengulas lanjut mengenai prestasi guna tenaga PKS, beliau memaklumkan bilangan guna tenaga PKS pada 2019 adalah 7.3 juta orang (2018: 7.1 juta orang).

Semua sektor merekodkan peningkatan pada tahun 2019 kecuali sektor pembinaan.

Sektor perkhidmatan mencatatkan sumbangan peratusan guna tenaga PKS tertinggi melebihi 50%. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast