Alat pengesan automatik pertama di dunia untuk kesan ulat bungkus di ladang sawit.

KUALA LUMPUR – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah mencipta satu sistem pengesan automatik pertama di dunia bagi mengesan spesies ulat bungkus Metisa plana, salah satu spesies utama serangga pemakan daun pokok sawit.

Serangan ulat bungkus sederhana boleh mengakibatkan kehilangan hasil sawit sehingga 43%.

Berdasarkan data MPOB pada tahun 2016, kerugian ekonomi kepada penanam sawit akibat serangan ulat bungkus adalah sekitar RM24 juta.

Adalah menjadi kesalahan sekiranya ulat bungkus tidak dikawal dan pemilik ladang boleh diambil tindakan di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.

Teknologi ciptaan penyelidik MPOB, yang diketuai oleh Mohd Najib Ahmad, yang dikenali sebagai Alat Pengesan Automatik Ulat Bungkus atau Oto-BaC TM, menggunakan kamera dan algoritma pembelajaran mendalam yang terdiri daripada pengesan pergerakan dan analisis warna palsu untuk mengesan serta membezakan larva dan pupa ulat bungkus yang hidup dan mati.

Oto-BaC TM juga dapat menghitung jumlah larva dan populasi pupa sepelepah, serta mengklasifikaskan mereka kepada tahap larva dan pupa.

MPOB berkataa, pembangunan inovasi ulung dalam industri sawit dapat menyediakan pengumpulan data masa nyata yang tepat dan sistem yang mesra pengguna untuk mengesan dan mengira ulat bungkus pada daun sawit.

Penggunaan alat ini dapat meminimakan kesilapan manusia dalam pembancian dan meningkatkan amalan pertanian yang baik.

Dengan mengintegrasikan teknik penglihatan mesin dan algoritma pemprosesan gambar, alat ini dapat digunakan secara berkesan oleh penanam sawit untuk memantau populasi ulat bungkus di ladang.

Oleh itu, teknologi ini dapat mengurangkan kehilangan hasil buah tandan segar.

Penggunaan teknologi Oto-BaC TM juga dapat diperluas kepada serangga perosak lain di ladang sawit.

Oto-BaC TM sangat penting kerana ia akan memberi banyak manfaat kepada penanam dari segi perlindungan tanaman sawit.

Dengan menggunakan Oto-BaC TM , tindakan kawalan dapat dirancang dan tahap larva yang tepat dapat dikesan, sekaligus mengurangkan kos penggunaan racun perosak bagi ladang sawit.

Selain itu, alat ini dapat mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja dan meminimumkan masa yang untuk bancian ulat bungkus.

Penggiat industri dan usahawan digalakkan untuk mengkomersialkan Oto-BaC TM bagi kawalan ulat bungkus di ladang sawit. – MalaysiaGazette