SHAH ALAM – Sebuah pasar raya di Banting, Kuala Langat, diarah tutup selama tujuh hari bermula semalam kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata antara kesalahan dilakukan pasar raya berkenaan termasuk tidak memeriksa suhu badan pekerja dan pelanggan, tidak melakukan kerja-kerja nyah kuman di premis perniagaan dan tidak mengemas kini buku rekod kehadiran pelanggan.
“Sepatutnya premis yang menjadi tumpuan ramai perlu patuh terhadap SOP PKPP, semasa pemeriksaan dijalankan, anggota kami dapati SOP langsung tidak diikuti oleh pemilik premis ini.
Terdahulu, tular satu gambar di media sosial menunjukkan Notis Perintah Tutup Premis diletakkan di pintu hadapan sebuah pasar raya di Banting, Kuala Langat.
Mengulas lanjut, Dr Sha’ari berkata pihaknya akan terus mengadakan pemeriksaan ke atas premis-premis tumpuan ramai bagi memastikan SOP PKPP dipatuhi oleh semua pihak.
— BERNAMA