Shamsul Iskandar Mohd Akin

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) hari ini menggesa agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) segera menangkap dalang utama skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau Jho Low.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pendirian itu perlu diambil segera Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempunyai kuasa untuk berbuat demikan.

“Saya minta Perdana Menteri ambil perhatikan. Sekarang bekas PM (Najib Razak) sudah kena, yang belum kena tangkap lagi Jho Low.

“Sampai hari ini, tok dalang nombor satu yang belum lagi kerajaan tangkap atau kerjasama dengan mana-mana badan dunia.

“Dia telah khianati negara ini dengan merompak hasil kekayaan negara dan rakyat. PM sudah ada, jadi saya nak minta penegasan kerana kita tahu ketika kerajaan PH menang antara perkara pertama yang kita laksanakan adalah wujudkan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional 2019, kita bentangkan dalam dewan ini,” katanya ketika membahaskan titah Diraja, hari ini.

Dalam pada itu, bangkit mencelah Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan bersetuju supaya ahli perniagaan dalam buruan itu ditangkap segera.

Bukan sahaja Jho Low, malah katanya beberapa individu lain juga harus ditangkap segera.

“Bukan Jho Low sahaja patut ditangkap, ada beberapa orang lagi yang lari, pelbagai bangsa lari akibat daripada menipu dan lari.

“Yang Melayu pun ada, Nik Faisal Arif Kamil misalnya dan beberapa orang lari. Jadi semua itu sepatutnya kena bawa balik Malaysia, tangkap dan pastikan mereka nyatakan apa yang benar,” kata Setiausaha Agung UMNO itu lagi.

Sejak 2015, Jho Low, Ketua Pengarah Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil, Eric Tan Kim Loong, Casey Tang, Jasmine Loo Ai Swan dan Geh Choh Heng adalah antara individu dikehendaki oleh pihak berkuasa negara ini berhubung siasatan berkaitan SRC International dan 1MDB.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC). – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Bukn tangkap jho low, kami gesakn pihak berkuasa tangkap Pemimpin2 dap yg kes di lepaskn pada zaman ph n tangkap soalsiasat bekar KP sprm n bekas pguam negara dlm krjaan ph dulu..jgn bgi lpas..dan ramai lg puak2 durjana dlm ph yg buat jahat dulu tangkap smua..biar tahu rasa lgit tu tggi or rendah..kami ank muda tolak ph durjana..

Comments are closed.