Dr Kamarul Zaman Yusoff
Dr. Kamarul Zaman Yusof

KUALA LUMPUR – Mengapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti Warisan yang membuat keputusan menyokong Tan Sri Musa Aman perlu dihadapkan dengan kejian oleh pihak tertentu termasuk pemimpin parti itu sendiri?

Sedangkan, menurut penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusoff, tindakan yang mereka ambil itu adalah satu keputusan tepat yang perlu dipuji bukan dikeji.

Beliau memberi alasan, empat ADUN parti Warisan yang terlibat, iaitu Jamawi Jaafar (DUN Kemabong), Osman Jamal@Jamar (Balung), Hamisa Samat (Tanjong Batu) dan Abd. Muis Picho (Sebatik) asalnya UMNO yang menang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

Katanya, empat ADUN UMNO itu menyertai parti Warisan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu selepas kerajaan BN tumbang.

Begitu juga tiga ADUN Warisan, Bolkiah Ismail (DUN Pitas), Saddi Abdu Rahman (Sukau) dan Musbah Jamli (Tempasuk) asalnya wakil rakyat yang menang atas tiket UMNO, tetapi menyertai parti diketuai Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Jelas Dr. Kamarul Zaman, dua lagi ADUN Warisan iaitu Lasiah Baranting@Anita (Tandek) dan Abdul Rahman Kongkawang (Labuk) juga bukan asal dari parti itu.

“Mereka berdua asalnya dari Parti Bersatu Sabah (PBS) yang kemudian menyertai Warisan pada 6 Mac 2019 dan 27 September 2019.

Seorang lagi ADUN BN dari UPKO menyertai Warisan pada 18 Disember 2018 ialah Masiung Banah (Kuamut). Dia juga akhirnya menyatakan sokongan kepada Musa,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Dr. Kamarul Zaman, dengan rentetan itu, tidak wajar ADUN yang menyokong Musa dikeji kerana kononnya mengkhianati mandat rakyat.

Kata beliau, mereka sebenarnya balik ke asal untuk mengembalikan mandat rakyat yang diterima selaku ADUN UMNO, PBS dan UPKO.

“Mereka telah menyedari kesilapan mengkhianati mandat rakyat dengan meninggalkan UMNO, PBS dan UPKO untuk menyertai parti Warisan sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.