KUALA LUMPUR – Kaji dan selidik sebelum membuat kenyataan.
Itu nasihat Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin kepada Exco Armada, Muzzammil Ismail.
“UMNO Sabah tidak rebah pada PRU-14. Pengundi UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah telah dikhianati oleh ADUN-ADUN yang melompat menyokong Datuk Seri Mohd Shafie Apdal termasuklah ADUN yang telah menyertai Bersatu.
“Mungkin diwaktu itu Saudara Muzzammil belum berminat dalam arena politik sehingga lupa tentang fakta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Shahrul Nasrun, kenyataan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan jelas bahawa keputusan Bersatu Sabah untuk bertanding 45 kerusi DUN Sabah telah menimbulkan rasa tidak selesa UMNO terhadap Bersatu.
“Parti anda (Muzzammil) seharusnya menghormati proses perundingan kerana ia akan mencerminkan keikhlasan persahabatan kalian terhadap UMNO dan Barisan Nasional.
“Jangan membuat kenyataan hanya untuk mencari publisiti dan sokongan dikala saudara sedang berkempen merebut jawatan Ketua Armada.
“Anda boleh mempertahankan parti anda tapi kaji selidik dulu fakta sebelum membuat kenyataan kerana ia akan mencerminkan sejauh mana kepimpinan anda oleh akar umbi,” katanya lagi.
Shahrul Nasrun mengulas kenyataan Muzzammil yang meminta Shahril Sufian jangan celupar selepas Ketua Penerangan UMNO itu menasihatkan Pengerusi Bersatu Sabah Hajiji Noor supaya ‘jangan bermimpi’ selepas menyatakan hasrat partinya untuk bertanding 45 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.- MalaysiaGazette