KUALA LUMPUR – Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkongsi rahsia penampilan terbaharunya dengan mengakui pengambilan pemakanan yang betul adalah kunci kejayaan.
Jelas beliau kejayaan menurunkan berat badan hampir 22 kilogram (kg) turut dibantu dengan latihan dan senaman konsisten tanpa memerlukan tempoh yang lama di gimnasium.
“Apa paling mustahak adalah pemakanan yang merangkumi 70 hingga 80 peratus dan saya tidak mengambil apa-apa supplement (makanan tambahan), selain senaman yang konsisten. Setiap pagi saya akan minum jus, sayuran dan buah-buahan.
“Ramai cakap tiada gimnasium besar dan sebagainya tapi saya hanya guna ruang kecil sahaja untuk turunkan 22kg. Selain, melakukan senaman tidak lebih satu jam.
“Saya boleh ajar anda bagaimana menghilangkan berat badan dalam masa 20 minit, tidak perlu dua tiga jam di gym atau lari jarak yang jauh.
“Saya suka melakukan pelbagai senaman kardio dalam bentuk set, untuk masa 1 minit 20 saat bagi setiap set senaman itu dilakukan,” katanya yang kini berjaya menurunkan berat badan kepada 68kg.
Mengulas lanjut, Tunku Ismail turut berhasrat untuk membina sebuah pusat gimnasium khas untuk rakyat Johor.
“Suatu hari saya akan buka gim (gimnasium) sendiri yang dibuka untuk orang awam dan anda semua dapat melakukan senaman. Saya juga akan promosi gaya hidup sihat dan juga pemakanan untuk bangsa Johor, itu agenda masa depan JDT,” katanya di akaun Instagram miliknya, semalam.
Tunku Ismail juga berkongsi pengalaman rakannya yang meninggal dunia pada usia 42 tahun akibat serangan jantung walaupun sering ke gimnasium dan mempunyai tubuh badan yang sasa.
“Saya ada kawan berusia 42 tahun dan rapat dengan saya pergi gim setiap hari dan badan sasa tapi meninggal kerana serangan jantung, salah satu faktor kerana salah makan. Jadi makanan paling penting selain jalani gaya hidup sihat,” katanya. – MalaysiaGazette