KUALA LUMPUR – “Saya tidak gila (kuasa), saya waras. Saya mempunyai orang kiri dan kanan yang ramai dan kakitangan profesional yang banyak membantu serta ada lebih 200 kakitangan bekerja dengan saya.”
Itu jawapan spontan dan penuh yakin oleh Datuk Seri Megat D. Shahriman Datuk Zaharudin mengulas cakap-cakap belakang apabila beliau memegang banyak jawatan dalam pelbagai persatuan, kelab dan yayasan di negara ini.
Megat D. Shahriman kini adalah Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) dan pemilik kelab hoki Hockademy KL.
Beliau turut menjawat jawatan Ahli Lembaga Pengarah Mara Corporation, Presiden Persatuan Sukan Goalball Orang Buta Malaysia, Pengasas dan Pengerusi Yayasan Hydrocephalus Negara dan sebelum ini bekas Presiden Persatuan Kanu Malaysia (Masca).
Mengulas lanjut, Megat D. Shahriman menjelaskan dakwaan beliau kelihatan ‘gila kuasa’ boleh diakui namun sebenarnya beliau sebenarnya ‘dijemput’ oleh persatuan-persatuan yang memerlukan khidmatnya.
Bagaimanapun beliau meletak syarat tertentu terlebih dahulu agar tidak mahu nampak ‘gila kuasa’ kerana hanya akan menguruskan tugasnya sebanyak 10 peratus sahaja.
“Kalau mereka setuju dan itu perbincangan dengan persatuan tersebut. Selebihnya mereka yang uruskan. Itu yang nampak saya dan timbul isunya.
“Tapi kena faham, ramai presiden yang pegang (jawatan) kerana mereka dapat bantuan yang hebat dan bagus daripada persatuan kerana kadang-kadang mereka hendak kepimpinan.
“Kadang-kadang juga hendak pendedahan untuk bawa masuk penaja, orang itu punya limelight. Jadi setiap persatuan ada agenda masing-masing.
“Saya tidak keberatan langsung tapi saya terbuka dan di mana kata boleh buat 10 peratus sahaja dan tidak boleh 100 peratus. Tidak boleh (semua pegang), saya lepaskan jawatan kemudian satu-satu. Di mana saya sudah buat, saya lepas. Di situlah game plan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.
Megat D. Shahriman mengakui tidak boleh melakukan 10 perkara dalam satu masa kerana itu adalah perkara mustahil.
Namun beliau menegaskan mampu buat 10 perkara dalam satu masa jika terdapat 200 orang di belakangnya kerana ia membuatkan kerjanya menjadi lebih mudah.
“Pengurusan masa saya hendak kata bagus ke tidak tetapi setakat ini Alhamdulillah. Always on track, good and above. Saya kena sesuaikan keadaan jika ada mesyuarat pada waktu yang sama.
“Saya kena perkasa dan percaya tugas serta bagi ahli buat keputusan. Mesyuarat dalam dua tiga bulan hanya untuk sahkan sahaja keputusan jawatankuasa exco yang telah dibuat.
“Tidak perlu mikro pengurusan lagi. Itu sebab cara saya lain dengan memastikan timbalan, naib exco ada jawatan kuasa sendiri dan mereka buat keputusan dan ia dibawa ke ahli lembaga. Itu yang disahkan dan tiada persoalan dibangkitkan lagi. Mereka sudah buat penilaian dan pencarian serta risiko,” katanya.
Megat D. Shahriman juga tidak mahu bongkak dengan pelbagai jawatan yang disandang namun berkongsi rahsia apabila melaksanakan budaya korporat itu menjadi amalannya.
“Orang cakap saya gila tapi tidak, macam kacang putih untuk saya. Mungkin terlampau bongkak tapi formula macam itu sudah distrukturkan.
“Kita rancang dan struktur, Insya-Allah semuanya baik. Itu sebab kena percaya ahli pasukan sendiri dan jangan masuk persatuan ada pasukan A dan B,” katanya.
Sebelum ini ketika pertandingan Presiden MPM, Megat D. Shahriman berdepan kontroversi apabila mengemukakan bukti proses pencalonan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sebagai calon kedua untuk bertanding jawatan presiden MPM sebagai tidak sah. – MalaysiaGazette