Pengarah Hospital Selayang, Dr. Sakinah Alwi (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Ketua Eksekutif Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), Datuk Mohamad Nageeb Ahmad Abdul Wahab (tengah) sambil diperhatikan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali (kanan) pada Majlis Sumbangan Mesin Ventilator dan Ujian Kit di Hospital Selayang, Selayang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 04 OGOS 2020.

SELAYANG – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menjangkakan purata harga minyak sawit (MSM ) antara RM2,500 ke RM2,600 satu tan menjelang hujung tahun ini.

Menterinya, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, unjuran itu berdasarkan permintaan tinggi bagi minyak sawit mentah khususnya dari pasaran Afrika, Filipina dan Timur Tengah.

Beliau berkata, selain itu pada masa sama terdapat peningkatan permintaan MSM dari India yang turut menjadi penyumbang kepada peningkatan komoditi itu.

Jelas beliau walaupun berdepan Covid-19, prestasi sektor perladangan kekal aktoif kerana dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan bekalan stok minyak sawit mentah negara sentiasa tersedia.

“Kita di Malaysia diberi kelonggaran untuk beroperasi, itu kelebihan kita. Jadi kita berlaku Covid-19, kita masih mengeluarkan hasil iaitu buah tanda segar dan minyak refined. Jadi kita ada stok.

“Jadi, sebaiknya berakhirnya pandemik (PKP), kita terus program pemasaran kita dan alhamdulillah berlaku peningkatan yang agak besar ke atas permintaan minyak sawit kita.

“Kita yakin sampai ke hujung tahun kita akan lebih berjaya dan kita sasarkan untuk tahun 2020, sebanyak RM65 billion hingga RM70 billion kita punya eksport ke luar negara berbanding pada tahun lepas sekitar RM63 billion, itu jangkaan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan mesin ventilator dan Test Kit Covid-19 kepada Hospital Besar Selayang oleh kementeriannya di sini hari ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali bercakap kepada media selepas Majlis Sumbangan Mesin Ventilator dan Ujian Kit di Hospital Selayang, Selayang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 04 OGOS 2020.

Beliau diminta mengulas laporan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) baru-baru ini bahawa industri minyak sawit dijangka pulih sepenuhnya pada suku keempat tahun ini sekiranya pandemik COVID-19 dapat dikawal dan dikekang.

CPOPC yakin peningkatan dalam pasaran mungkin akan berlaku susulan dasar monetori yang longgar dilaksanakan kebanyakan bank-bank pusat dan pakej rangsangan kerajaan.

Sehingga semalam, harga fizikal untuk sawit berada di paras RM2,860 untuk satu tan manakala harga bagi MSM kontrak niaga hadapan kini berada di paras RM2,689 dan RM2,850.

Ia susulan peningkatan terhadap komoditi itu di pasaran global yang semakin baik disokong oleh penurunan pengeluaran selepas penularan pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast