Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

KUALA LUMPUR – Kadar cukai taksiran yang tidak dinaikkan dalam tempoh terlalu lama menjadi punca isu pembangunan sukar dilaksanakan di sesetangah pihak berkuasa tempatan (PBT).

Perkara itu dimaklumkan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin apabila memberitahu, terdapat PBT yang tidak menaikkan cukai taksiran sejak lebih 30 tahun.

Katanya, perkara itu telah memberi kesan terhadap pendapatan dan PBT terbabit terpaksa meminjam dengan kerajaan negeri.

Pinjaman itu pula dikenakan faedah dan ia sekaligus membebankan keadaan semasa PBT itu sendiri.

“PBT tidak dapat menaikkan cukai taksiran kerana tertakluk kepada keputusan kerajaan negeri.

“Apabila tiada duit, kerajaan negeri tidak dapat menampung, maka mereka berharap dengan kerajaan Persekutuan.

“Kadang-kadang ada kerajaan negeri yang meminjamkan duit kepada PBT dan perlu dibayar dengan faedah.

“Contohnya, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) kali terakhir menaikkan cukai 38 tahun dahulu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu pula 35 tahun lalu.

“Rata-rata PBT di seluruh negara tidak menaikkan cukai hampir 20 tahun, jadi bagaimana PBT nak berdikari untuk melaksanakan kerja mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (Rompin-BN), Datuk Seri Hasan Arifin yang ingin tahu usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam menyemarakkan sistem demokrasi negara di kalangan PBT.

Dengan memberikan contoh pendapatan PBT seperti di Selangor, Johor dan Negeri Sembilan, Zuraida berkata, ia menunjukkan peningkatan selepas kadar cukai taksiran dinaikkan.

“Bayangkan jika mereka boleh melaksanakan ini lima tahun sekali seperti tertera dalam akta, pasti PBT mampu membuat lebih pembangunan dan keputusan di kawasan masing-masing,” ujarnya. – MalaysiaGazette