KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi KL hari ini memutuskan untuk menangguhkan keputusan permohonan Datuk Seri Najib Razak membatalkan tuduhan meminda Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada minggu depan.

Selain Najin, kes itu turut melibatkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam ketika ditemui pemberita di kompleks mahkamah hari ini.

“Mahkamah tetapkan minggu depan untuk keputusan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak. Besar kemungkinan ianya pada hari Isnin ini,” katanya.

Jelas beliau, seandainya mahkamah belum dapat memutuskan keputusan pada Isnin, ia mungkin dilakukan pada hari seterusnya.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda ketika menghadiri perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada masa sama, perbicaraan mengenai pemindaan laporan audit 1MDB akan bersambung pada Isnin dan Selasa ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh 7 Ogos untuk keputusan permohonan tersebut selepas mendengar hujah peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib dan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Najib memohon supaya tuduhan ke atasnya dibatalkan mengikut Seksyen 173(g) Kanun Acara Jenayah dengan alasan ia adalah tidak berasas.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB oleh Jabatan Audit Negara sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC), untuk mengelakkan tindakan diambil terhadapnya.

Manakala Arul Kanda pula didakwa bersubahat dalam perkara itu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, bergantung yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast