Neelofa

KUALA LUMPUR – Selebriti popular Malaysia Neelofa kini dilantik sebagai duta pertama Asia Tenggara bagi gergasi kosmetik Perancis, Lancome selepas tiga tahun mewakili jenama itu di Malaysia selain menjadi wanita berhijab pertama yang menjadi duta produk kecantikan tersebut.

“Saya amat berbesar hati dinamakan sebagai duta pertama Asia Tenggara bagi satu jenama yang telah saya anggap sebagai sebahagian daripada keluarga saya.

“Saya percaya kebahagiaan adalah satu perjalanan dan bukan satu destinasi, dan perjalanan saya bersama Lancome adalah sesuatu yang luar biasa,” katanya dalam satu rakaman video hari ini.

Beliau juga berharap dapat berhubung dengan wanita dari rantau Asia Tenggara dalam mempromosi manfaat produk itu dan pada masa sama, mencari kekuatan yang mampu menyatukan mereka.

Para selebriti dan peminat membanjiri ruangan komen di laman media sosial Neelofa untuk mengucapkan tahniah selepas beliau memuat naik video itu pada 12 tengah hari ini yang telah ditonton lebih 140,000 kali.

Hos televisyen, aktor dan penyanyi Alif Satar (@alifsatar) menulis “congrats babe! Go lofa!!!” yang diikuti selebriti lain termasuk Siti Saleha (@sallywho), Daphne Iking (@daphneiking), Daiyan Trisha (@daiyantrisha), Fara Fauzana (@therealfafau) dan Dynas Mokhtar (@dynasmokhtar).

Sementara itu, @ad_am berkata “Just when you think you’ve reached your peak, you prove that you can always outdo yourself!!! So proud!!!”

Seorang lagi pengikut @shifahusni memberi komen “So proud of you! Bangganya ada org Malaysia yg betul2 ke depan mcm you. Lofa mmg my idol ❤️.”- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast