KUALA LUMPUR – Senyuman manis dan penuh ceria tergambar di wajah penghuni Rumah Anak Yatim Darul Taqwa walaupun ditutupi pelitup muka apabila menerima barangan basah seperti ayam, daging dan ikan bagi keperluan harian mereka.
Warden rumah itu, Nadhirah Mokhtar berkata, sumbangan itu amat bermakna bagi mereka dan berterima kasih atas keprihatinan dan ingatan orang ramai walaupun negara masih di selubungi pandemik Covid-19.
Jelas beliau, ramai yang ingin memberi sumbangan dan menerima jemput mengadakan program namun perlu akur dengan prosedur operasi standard (SOP) oleh kerajaan.
“Alhamdulillah sejak perintah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, ramai yang memberi sumbangan namun kami terpaksa menolak dengan baik bagi aktiviti di rumah.
“Pada masa sama, barang-barang keperluan kering tidak pernah putus dan stok masih ada. Terima kasih kepada mereka yang menyumbang kepada kami selama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Tanggungjawab Sosial Korporat MalaysiaGazette yang melawat rumah berkenaan di Bandar Tasik Selatan di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarang MalaysiaGazette, Noraini Razak.
Pada program itu, penghuni di antara umur tujuh hingga 17 tahun dan kakitangan rumah tersebut turut menikmati hidangan makan tengahari.
Rumah Anak Yatim Darul Taqwa yang memiliki 16 penghuni anak yatim dan asnaf itu sebelum ini terletak di Sungai Besi namun terpaksa berpindah kerana pembinaan kerja-kerja rkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT).
Mengulas lanjut, Nadhirah, 24, berkata, pihak pengurusan sentiasa menekankan pendidikan akhlak dalam kalangan penghuni agar seimbang dalam kemajuan mengejar teknologi dan material.
Jelas beliau, penghuni akan mengikuti pembelajaran secara normal di sekolah kebangsaan termasuk kelas tambahan pada hari minggu.
Namun lulusan Universiti Zainal Abidin itu menjelaskan, aktiviti membaca Al-Quran, qiamulai dan jemputan membuat tahlil tidak dilupakan.
“Bagaimanapun mereka tetap diberi peluang untuk melakukan aktiviti riadah dan bersukan agar dapat meneruskan kehidupan seperti anak-anak lain yang yang bernasib baik dapat tinggal di rumah bersama keluarga,” katanya. – MalaysiaGazette