KUALA LUMPUR – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) memperkenalkan Skim Sewa Untuk Dimiliki kepada usahawan Bumiputeri di negara ini dalam usaha membantu golongan itu memiliki hartanah sendiri pada masa akan datang.
Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, skim itu diperkenalkan kepada tiga konsep iaitu hartanah sedia ada yang dimiliki PUNB, membantu usahawan membeli hartanah yang sedang disewakan dan membeli bangunan baharu mengikut permintaan usahawan.
Jelas beliau, PUNB bukan lagi sekadar memainkan peranan membantu usahawan dalam pembiayaan pinjaman namun mahu membantu golongan itu tidak berdepan kesukaran pada masa akan datang.
“Daripada kajian yang dibuat, ramai usahawan Bumiputera yang berminat memiliki hartnanah sendiri namun mereka tidak mampu.
“Jadi mereka menyewa mana-mana bangunan atau rumah kedai dan telah mengeluarkan modal yang banyak untuk proses pengubahsuaian.
“Tetapi akhirnya, pemilik bangunan mahu menjual atau menaikkan sewa bila tempoh perjanjian tamat yang memberi kerugian kepada golongan usahawan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media apabila mengumumkan inisiatif khas untuk penyewa-penyewa premis perniagaan milik PUNB di Pusat Industri Seri Rampai di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin.
Mengulas lanjut, Noh berkata, bagi golongan usahawan Bumiputera yang sedang menyewa mana-mana bangunan atau rumah ketika ini, PUNB akan membantu dengan membeli hartanah itu dan golongan akan menyewa dengan agensi tersebut.
Jelas beliau, menerusi konsep ketiga skim itu, PUNB akan membantu membeli hartanah yang diminati golongan usahawan dengan nilai minima RM500,00 mengikut faktor perniagaan mereka.
“Menerusi skim ini, PUNB ingin melahirkan ramai usahawan Bumiputera memiliki hartanah sendiri pada masa akan datang dalam menjayakan hasrat kerajaan melihat golongan itu mempunyai aset sendiri,” katanya.
Noh menambah, PUNB akan menggunakan peruntukan hartanah sebanyak RM25 pada tahun bagi pengenalan Skim Sewa Untuk Dimiliki itu.
Jelas beliau sehingga kini, hanya RM5 juta baru digunakan dan baki peruntukan akan disalurkan untuk membantu pemilikan hartanah sendiri untuk usahawan Bumiputera. – MalaysiaGazette