PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas tulang pinggul yang ditemukan di sebuah kawasan hutan berhampiran Jalan Batu Gantung, di sini pada 24 Jun lepas sepadan dengan DNA Anna Jenkins, warga Australia yang dilapor hilang di negeri ini, tiga tahun lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Kimia berhubung ujian itu semalam dan mendapati sampel DNA diberikan anak lelaki wanita tersebut yang datang ke Pulau Pinang, Julai lepas didapati sama dengan DNA tulang pinggul berkenaan.

“Berikutan keputusan DNA itu, polis meneruskan siasatan lanjut berhubung kes tersebut termasuk mengenal pasti punca wanita berkenaan mati dan pelbagai (aspek) lagi. Saya difahamkan anak lelaki mangsa masih berada di Pulau Pinang bagi mengikuti perkembangan (siasatan).

“Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman juga akan ke lokasi penemuan tulang pinggul dan beberapa barangan milik mangsa untuk membina semula siasatan (berdasarkan bukti yang diperoleh) esok bagi menjalankan pemeriksaan lebih terperinci serta mengesan barang kes yang mungkin masih ada di situ yang boleh membantu siasatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Penemuan tulang pinggul, longgokan pakaian dan barangan peribadi yang dipercayai milik mangsa ditemukan seorang lelaki yang melakukan kerja-kerja landskap menanam pokok di kawasan hutan berhampiran pada 4 petang, 24 Jun lepas.

Ia ditemukan berselerak kira-kira tiga kilometer dari lokasi terakhir wanita itu dilaporkan kelihatan di Jalan Scotland.

Mengulas lanjut, Sahabudin berkata, polis juga tidak menolak kemungkinan memohon inkues kes itu jika pihaknya tidak dapat mengenal pasti punca sebenar kematian wanita tersebut.

Katanya, pemeriksaan lanjut polis di lokasi penemuan tulang pinggul itu pada 7 Ogos lalu, telah menemui seketul objek seperti tulang dan ia telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya untuk dianalisa.

“Analisa bertujuan mengetahui sama ada ia juga tulang wanita tersebut. Kami masih menunggu keputusannya,” katanya.

Pada 13 Dis 2017, Jenkins, 65, dikatakan keluar dari bilik hotelnya untuk ke klinik gigi di Pulau Tikus dan meminta pekerja hotel memesan perkhidmatan e-hailing untuk ke sebuah rumah kebajikan di Batu Lancang selepas selesai rawatan.

Wanita itu meminta pemandu menurunkannya berdekatan lampu isyarat di Jalan Scotland dan demi keselamatan, pemandu menurunkan mangsa berhampiran sebuah sekolah.

Sejak itu dia dilaporkan hilang dan laporan polis dibuat oleh suaminya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast