Kerajaan membuat keputusan untuk mengekalkan subsidi kos kuarantin yang dikenakan kepada warga negara Malaysia seperti sebelumnya.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Seramai 2,200 individu yang menjalani kuarantin di stesen-stesen kuarantin bagi tempoh 24 Julai hingga semalam telah dibenarkan pulang manakala 20 lagi telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat semalam, jumlah keseluruhan individu yang telah pulang dari luar negara dan menjalani kuarantin di stesen kuarantin adalah seramai 9,984 orang.

Kesemuanya telah ditempatkan di 61 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor, Perak, Perlis, Kedah, Labuan dan Johor.

“Mereka telah pulang dari 31 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia & New Zealand,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri turut memaklumkan semalam, seramai 182 individu telah ditahan kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelasnya, antara kesalahan yang dilakukan adalah aktiviti karaoke tanpa lesen (11), melakukan aktiviti yang tidak mengikut prosedur operasi standard (36), tidak memakai pelitip muka (17) dan aktiviti yang melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (100) serta melanggar perintah kuarantin (2).

“Semalam (11 Ogos 2020), PDRM telah menahan 182 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP.

“Daripada jumlah itu, seramai 18 individu telah direman manakala 2 individu lagi dijamin.

“162 individu pula dikenakan kompaun,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah membuat 70 sekatan jalan raya dalam Operasi Benteng di seluruh negara.

Ia telah berjaya menahan 10 individu atas kesalahan imigresen.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast