Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang suspek warga tempatan yang cuba bertindak agresif melanggar kenderaan polis untuk meloloskan diri bersama dadah akhirnya kecundang.

Beberapa das tembakan oleh pasukan polis telah menyebabkan kesemua tayar kenderaan dipandu suspek kempis sebelum berjaya memaksa lelaki berusia 38 tahun itu menyerah diri.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, insiden berlaku sekitar jam lebih kurang 3.25 petang hari ini.

Katanya, bertindak atas maklumat pengedaran dadah, sepasukan Polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Kuala Lumpur telah menahan sebuah kereta jenis Proton Saga BLM bewarna silver yang dinaiki seorang lelaki berbangsa India di Jalan Sentul.

“Semasa polis memperkenalkan diri dan meminta suspek untuk keluar dari kereta, suspek telah bertindak agresif dan telah cuba melepaskan diri dengan mengundurkan kereta sebanyak tiga kali dan melanggar kereta pasukan polis yang tidak berlambang serta cuba melanggar anggota polis.

“Pihak polis telah bertindak melepaskan beberapa das tembakan di bahagian tayar belakang sebelah kanan dan tayar hadapan kereta suspek demi mempertahankan diri serta untuk memberhentikan kenderaan tersebut supaya tidak membahayakan orang awam yang lain.

“Namun, suspek masih cuba melarikan diri dengan cuba memandu naik ke atas tebing di sebelah jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kemudian, ujar Mazlan, pegawai polis melepaskan tembakan pada tayar hadapan sebelah kiri kereta suspek sekaligus berjaya memberhentikan kereta tersebut.

Menurutnya, suspek kemudian ditangkap sebaik sahaja menyerah diri dan hasil siasatan suspek bekerja sebagai pembantu kedai runcit.

“Tiada sebarang kecederaan berlaku terhadap pihak polis dan juga suspek. Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kereta suspek, pihak polis telah menjumpai dadah jenis heroin anggaran berat 450 gram dan dadah jenis syabu anggaran berat 151 gram di bawah kerusi penumpang bahagian hadapan kereta suspek.

“Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau jenayah berkaitan dadah dan hasil saringan awal urin ke atas suspek mendapati suspek positif methamphetamine, amphetamine dan THC,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Siasatan lanjut diteruskan dan permohonan reman ke atas suspek akan dibuat pada 13 Ogos 2020.

Justeru, Mazlan berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian boleh menyalurkannya dengan cara menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana–mana balai polis berdekatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast