KUALA LUMPUR – Kegiatan pembakaran terbuka di kawasan sempadan Kuantan, Maran dan Pekan semalam telah diambil tindakan, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Katanya, selepas menerima laporan itu, beliau mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Norlin Jaafar untuk menyiasat dan mengambil tindakan susulan berhubung aktiviti itu.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2020/08/MGF03082020_PERSIDANGAN-DEWAN-RAKYAT_16-1024x683.jpg)
“Semalam saya telah minta Ketua Pengarah JAS untuk siasat dan ambil tindakan susulan mengenai satu aduan pembakaran terbuka dan pencemaran yang dibuat di kawasan sempadan Kuantan, Maran dan Pekan.
“JAS Pahang telah tiba di lokasi pada jam 3.35 petang semalam dan anggota Bomba dan Penyelamat juga turut turun ke lokasi.
“Hasil siasatan, kita dapati bahan kebakaran itu adalah sisa tandan sawit kosong lama,” katanya menerusi ciapan Twitternya, hari ini.
Menurut Tuan Ibrahim, JAS telah mengambil tindakan perundangan ke atas kilang sawit dan pemilik tanah berkenaan.
Katanya, JAS Pahang akan membuat pemantauan berkala di premis itu.
“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak pengadu, bomba dan JAS Pahang atas tindakan pantas itu,” katanya. – MalaysiaGazette