Sekumpulan 13 orang PATI INdonesia yang cuba ceroboh masuk negara berjaya dicekup tentera di perairan Johor semalam.

KUALA LUMPUR – Usaha sekumpulan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba menceroboh masuk menerusi perairan negara berjaya ditangkap semalam.

Mereka dicekup menerusi Op Benteng kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) oleh pasukan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1RRD).

Gabungan Penggempur Hitam Semerah Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Kem Terendak, Melaka dalam kenyataan berkata, kegiatan pencerobohan PATI negara jiran itu dikesan Anggota Pos Pemerhati, Kompeni B daripada Batalion 1 RRD.

“Sekitar jam 10.30 malam semalam, sebuah bot telah dilihat pada jarak lebih kurang 500 meter dari Persisiran Pantai Nibong Sebatang, Johor sedang berlegar-legar.

“Hasil serbuan mendapati bot tersebut mula merapat ke pesisir pantai sebelum hasil tindakan pantas anggota Pos Pemerhati mendedahkan 12 orang PATI yang baru sahaja mendarat masuk ke Malaysia,” kata kenyataan markas itu.

Tambah kenyataan yang sama, kesemua 12 PATI itu berjaya ditahan daripada melarikan diri.

Kemudiannya, aturgerak kumpulan Quick Reaction Force (QRF) serta bantuan daripada Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) telah berjaya mengesan seorang lagi PATI Indonesia lain.

PATI berkenaan dikesan bersembunyi di kawasan sekitar menjadikan keseluruhan tangkapan seramai 13 orang kesemuanya.

Mereka yang terdiri daripada sembilan lelaki dan empat wanita warga Indonesia berusia sekitar 21 hingga 41 tahun.

Antara yang dirampas adalah tujuh buah telefon bimbit serta wang tunai bernilai RM 560 dan IR 9,996,100 (RM 2,803) menjadikan keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 5,091.

“Kesemua PATI dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang dan pengendalian adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Pasukan turut melaporkan kejadian kepada Komander Sektor 8 National Task Force yang kemudiannya telah mengatur gerak bot pemintas ke kawasan perairan untuk mengesan bot yang digunakan oleh Tekong untuk membawa masuk PATI.

“Pasukan meneruskan kawalan keselamatan di persisiran pantai dan kesemua PATI diserahkan ke Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan lanjut sebelum menjalani ujian Covid-19.

“Pihak Tentera Darat Malaysia (TDM) sentiasa bersiap sedia mengawal sempadan Negara dari sebarang pencerobohan dan penyusupan pada sebilang masa,” tegasnya.- MalaysiaGazette