Sebahagian wakil jabatan dan agensi mengibarkan bendera pada Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2020 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 OGOS 2020.

MEMASUKI minggu ketiga bulan Ogos menyaksikan masih banyak lagi premis terutamanya premis perniagaan tidak mengibarkan Jalur Gemilang.

Senario ini tidak sepatutnya berlaku kerana kita sudahpun berada dalam mood menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-63 tidak lama lagi.

Secara logiknya semua orang sudah tahu ini adalah bulan kemerdekaan dan kita perlu mengibarkan Jalur Gemilang tanpa
disuruh sebagai iltizam dan komitmen untuk menzahirkan semangat patriotisme.

Jadi agak musykil kenapa masih banyak lagi premis yang tidak mengibarkan Jalur Gemilang. Apakah lupa kita berada di bulan Ogos atau sengaja buat-buat lupa dan tidak mempedulikannya.

Apapun sebabnya kita tidak dapat menerima alasan, sikap
serta tingkah laku sekelompok rakyat kita seperti ini. Penulis sering tertanya-tanya apalah susah sangat untuk membeli dan mengibarkan Jalur Gemilang kerana harga sehelai Jalur Gemilang tidaklah mahal manapun.

Jelas sekali harga atau kos bukan menjadi isunya tetapi sikap tidak bertanggungjawab dan gagal untuk mensyukuri
nikmat kebebasan serta kemerdekaan menjadi punca utamanya.

Ironinya mungkin ramai yang lupa dan tidak sedar betapa mengibarkan Jalur Gemilang adalah cara yang paling mudah dan murah untuk menzahirkan semangat patriotisme. Kita patut bersyukur negara sudah bebas merdeka sejak 63 tahun yang lalu, maka generasi hari ini tidak perlu untuk mengangkat senjata bertempur di medan perang lagi.

Apa yang kita perlu lakukan sekarang hanyalah mempertahankan kemerdekaan yang ada dengan memelihara kedaulatan negara dan jangan lupa Jalur Gemilang adalah antara identiti dan lambang kedaulatan negara ini.

Dalam konteks ini, mungkin ada benarnya kata-kata para pujangga betapa mempertahankan dan mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sukar berbanding menuntutnya.

Hal ini kerana masih ramai yang tidak tahu untuk menghargai nikmat kemerdekaan yang ada ini. Ramai juga yang mungkin sudah lupa kita pernah dijajah secara bersilih ganti lebih dari 400 tahun.

Justeru sebelum semuanya terlambat marilah buktikan kita menyayangi negara ini dengan sepenuh jiwa dan raga.

Tuntasnya, masih belum terlambat untuk kita menzahirkan semangat patriotisme terhadap negara tercinta ini. Untuk itu, baik rumah kediaman, premis perniagaan mahupun pejabat kerajaan, marilah kita mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh
megah dan bangga. Insaflah bahawa, merdeka sekali tidak bermakna kita akan terus kekal merdeka selama-lamanya melainkan kita sentiasa berusaha untuk mempertahankannya.

Secara peribadi kalau boleh penulis ingin mencadangkan agar semua premis mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang tahun dan bukan hanya pada bulan Ogos dan September semata-mata. Hal ini kerana kita menikmati kemerdekaan itu sepanjang masa dan bukannya pada kedua-dua bulan itu sahaja.

Malah lebih drastik dan baik jika setiap organisasi dapat menaikkan Jalur Gemilang sambil menyanyikan lagu Negaraku pada setiap pagi sebelum memulakan operasi masing-masing agar semangat cintakan negara itu terpateri kemas dalam sanubari setiap warganegara sehingga hayat dikandung badan.

Dalam konteks ini juga kita berharap sangat agar tidak ada lagi insiden seperti pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik atau tidak menggantikan Jalur Gemilang yang sudah lusuh dan koyak.

Ingat, inilah satu-satunya negara yang kita ada di mana di sinilah kita lahir, membesar dan kemungkinan akan disemadikan bila tiba masanya nanti, jadi hargailah nikmat kemerdekaan, kebebasan dan kedaulatan yang ada ini. Seboleh mungkin zahirkanlah semangat patriotisme dengan sekurang-kurangnya mengibarkan Jalur Gemilang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.