Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) berharap kerajaan Perikatan Nasional dapat memperhalusi cadangan-cadangan belanjawan yang dikemukakan oleh rakyat, melalui saluran Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Usul Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Peuntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 bagi perkhidmatan tahun 2020 sebanyak RM7,184,083,200 diluluskan Dewan Rakyat menerusi undi belah bahagi.

RUU yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada 21 Julai lalu diluluskan selepas mendapat 111 undi menyokong dan 106 menolak daripada ahli parlimen menerusi undian belah bahagi.

Manakala lima ahli wakil rakyat tidak hadir seperti diumumkan oleh Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Sebelum RUU itu diluluskan, keadaan dewan sedikit kecoh selepas ahli parlimen pembangkang mempertikaikan tindakan Azhar menangguhkan dewan ketika sesi undian belah bahagi masih belum diselesaikan.

Azhar menangguhkan sidang selama 10 minit dan selepas itu masuk semula bagi mempengerusikan mesyuarat dan meminta undian belah bahagi dimulakan.

Antara ahli parlimen PH yang bangun mempertikaikan tindakan Azhar termasuklah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad; Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer; Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah ketika menggulung RUU berkenaan berkata, ia dibentangkan bagi memantapkan sistem penyampaian kerajaan selain memastikan pertindihan fungsi antara kementerian dapat diminimumkan.

Katanya, kewujudan kementerian baru seperti Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Alam Sekitar dan Air serta pengwujudan semula Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) adalah bertujuan memperkemaskan jentera perkhidmatan kerajaan.

“Kementerian Perpaduan Negara sebenarnya bukan kementerian baru. Ia pernah diwujudkan pada 1972 dan pada 1980, ia sudah distrukturkan sebagai Jabatan Perpaduan dan Rukun Tetangga dan diletakkan dibawah Jabatan Perdana Menteri.

“Kementerian Alam Sekitar dan Air pula berperanan dalam meneraju pengurusan air secara mampan dan kelestarian alam sekitar serta memulihara alam sekitar.

“Kerajaan berpandangan KPT dan KPM perlu menjadi entiti berasingan dalam memperkasa pendidikan negara,” katanya.

Permohonan peruntukan itu adalah berikutan penyusunan semula beberapa kementerian, penubuhan beberapa kementerian baharu dan pembubaran satu kementerian selaras dengan pembentukan kabinet baharu pada 10 Mac 2020.

Perbelanjaan tambahan itu dimohon untuk Jabatan Perdana Menteri iaitu sebanyak RM310,621,700, Perbendaharaan (RM17,253,000) dan Perkhidmatan Am Perbendaharaan (RM2,405,900).

Peruntukan itu juga adalah bagi Kementerian Perpaduan Negara (RM240,452,000), Kementerian Luar Bandar (RM189,165,000), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (RM102,603,900) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (RM10,000,000).

Selain itu ia turut melibatkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (RM12,410,600), Kementerian Alam Sekitar dan Air (RM305,993,000), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (RM70, 366,000) dan Kementerian Pengajian Tinggi (RM5,922,811,700). – MalaysiaGazette