KUALA LUMPUR – Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini meluluskan pembentangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai Garis Panduan Pelaksanaan Aktiviti Sukan dan Kokurikulum di sekolah berkuatkuasa 1 September ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, garis panduan ini merangkumi pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka termasuk amali di luar bilik darjah bagi mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK) serta Sain Sukan dalam keadaan yang terkawal.

Menurutnya, antara garis panduan yang perlu dipatuhi termasuk mendapatkan kebenaran bertulis ibubapa/penjaga murid yang terlibat, pengunaan bilik mandi/persalinan dihadkan mengikut kapasiti, memastikan penjarakan fizikal 1-3 meter bagi aktiviti statik dan 3-5 meter bagi aktiviti dinamik serta peralatan perlu dibersihkan dan disanitasi.

”Kelulusan itu juga mengambil kira situasi murid-murid sekolah yang pada masa ini hanya berada di dalam kelas sahaja. Oleh itu, kita benarkan,” katanya pada sidang media di sini.

Menurut beliau, aktiviti sukan dan kokurikulum juga perlu mematuhi Garis Panduan dan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pendidikan yang sedia ada.

Garis Panduan yang lengkap boleh didapati di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM) bermula 1 September 2020.

Tambah Ismail, mesyuarat khas juga telah meneliti dan meluluskan pembentangan KPM mengenai Garis Panduan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Amali Teknikal Dan Vokasional berkuatkuasa 1 September 2020.

Garis Panduan PdP Amali Teknikal Dan Vokasional melibatkan lebih 89 buah Kolej Vokasional/serta Sekolah Menengah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Teknik yang terpilih.

Antara Garis Panduan yang perlu dipatuhi termasuk menentukan bilangan murid berdasarkan kapasiti ruang, tempat dan peralatan amali dibersihkan dan disanitasi dan murid bergejala tidak dibenarkan untuk mengikut amali.

Garis Panduan yang lengkap juga boleh didapati di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) bermula pada 1 September ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast