Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) parti Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bercakap pada sidang media pengumuman barisan penuh Ahli Jawatankuasa Armada Bersatu Malaysia 2019-2022 di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 17 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Angkatan Pemuda Bersatu Anak Muda (Armada) mahu mengorak langkah memulakan usaha bersungguh-sungguh dalam menyatukan seluruh ahli parti.

Ketua Armada yang baharu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, penyatuan itu perlu kerana Bersatu telah mengalami perpecahan sejak awal tahun ini.

Jelas beliau, biarpun proses pemilihan parti hanya di kalangan ‘adik-beradik’, ia tetap melibatkan persaingan yang sengit.

“Ini membuktikan semangat juang tinggi serta ciri-ciri kepimpinan wujud dalam Armada. Namun begitu, kita semua adalah bersaudara.

“Penyatuan Armaada sebenarnya adalah sebagai salah satu langkah utama ke arah penyatuan penuh Bersatu di bawah pimpinan presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ini tanggungjawab kita,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) parti Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bercakap pada sidang media pengumuman barisan penuh Ahli Jawatankuasa Armada Bersatu Malaysia 2019-2022 di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 17 OGOS 2020.

 

Mengulas kemenangannya, Wan Ahmad Fayhsal berkata, kerja-kerja kempen sangat mencabar apabila waktu untuk bertemu dengan golongan akar umbi amat terhad ketika negara sedang berperang dengan pandeamik Covid-19.

Namun, beliau bersyukur dengan teknologi komunikasi tanpa batas memudahkan capaian malah mengeratkan lagi hubungan bersama ahli sayap itu.

“Peluang mendekati akar umbi sehingga ke pendalaman Sabah, Tanah Rancangan FELDA dan golongan usahawan mikro memberi visual sebenar bagaimana maklumat yang tepat harus sampai ke peringkat sasar.

“Tanggungjawab di kementerian dan tuntutan keberadaan di Parlimen juga mengingatkan  bahawa, pengurusan masa yang tepat adalah kunci untuk memastikan kempen ini berjaya,” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, semua ahli perlu menghormati proses demokrasi yang sedang berlangsung dengan baik.

Jelas beliau, pihak yang tidak dipilih tetap merupakan ahli keluarga besar Bersatu dan akan diberikan peluang seluas-luasnya untuk turut menyumbang kepada kejayaan Armada.

Wah Ahmad Faysal Wan Ahmad Kamal ketika berkempen pada pemilihan Ketua Armada Nasional baru-baru ini.

“Ada beberapa keperluan mendesak yang memerlukan Armada memulakan gerak kerja secepat mungkin. Barisan kepimpinan ini dengan bimbingan pucuk pimpinan akan menumpukan kepada usaha mengaktifkan jentera Armada dipelbagai peringkat agar kerja-kerja utama dapat dimulakan dengan segera.

“Dalam masa terdekat juga Armada akan turut menyumbang ke arah pengukuhan parti dan sekaligus bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) khususnya dalam usaha menarik sokongan anak muda dan memenuhi aspirasi mereka,” katanya.

Beliau yang Ketua Bahagian Bersatu Titiwangsa memberitahu, dua cabaran utama Armada selepas ini adalah Pilihan Raya Kecil Slim dan Pilihan Raya Negeri Sabah.

Katanya ini kerana, kedua-duanya adalah cabaran pertama beliau dan barisan pimpinan baharu yang perlu hadapi dan diakui bahawa sebuah pendekatan yang bijaksana diperlukan kerana Perak dan Sabah mempunyai dua demografi pengundi yang amat berbeza.

“Saya percaya bahawa kita amat bersedia untuk mengatasi cabaran kali ini. Ahli-ahli Armada masih bertenaga dan sedia dalam ‘mode’ pemilihan.

“Kita juga akan bantu usahakan pembinaan infrastruktur untuk Pemuda Muafakat Nasional bekerjasama dalam satu kerangka yang tetap dan berkesan,” katanya. – MalaysiaGazette