KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sementara Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kurang senang apabila disoal bertubi-tubi oleh media berhubung isu tuntutan Filipina kononnya negeri ini milik mereka.

Sambil menafikan dirinya mendiamkan diri, Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri melalui bekas Peguam Besar Sabah, Datuk Zaleha Rose Pandin sebenarnya telah membawa isu tuntutan itu sehingga ke Mahkamah di Sepanyol bagi membantah tindakan Filipina.

Beliau mengulas dakwaan Presiden Parti Cinta Sabah, Datuk Seri Anifah Aman yang mendakwa Mohd Shafie tidak bertanggungjawab dalam isu tuntutan Filipina terhadap Sabah.

Malah Mohd  Shafie seperti ‘memulangkan paku buah keras’ kembali kepada Anifah apabila menyoal apakah sebenarnya telah dilakukan olehnya ketika menjawat jawatan Menteri Luar berhubung tuntutan Filipina.

“Kita telah suarakan tentang tuntutan ini malah telah menghantar bekas Peguam Negeri ke Mahkamah Sepanyol. Kamu tanyalah sendiri kepada Zaleha. Soalannya ketika ini, apakah yang Anifah buat ketika menjadi Menteri Luar?

“Saya bukan Menteri Luar tapi Anifah Aman. Janganlah tuduh saya. Kita telah pertahankan Sabah dan akan sentiasa pertahankannya,” katanya dalam sidang media di sini.

Pada 27 Julai lalu, Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr mendakwa Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia pada ketika Sabah dalam keadaan tunggang langgang dengan isu kehangatan pertukaran kerajaan negeri.

Kenyataan Locsin di laman Twitternya itu sebagai reaksi terhadap kedutaan Amerika Syarikat di Filipina sekali gus turut mengundang reaksi negatif daripada rakyat Malaysia.

Anifah menyoal mengapakah Ketua Menteri mendiamkan diri ketika Teodoro Locsin membuat dakwaan seperti itu.

Jawapan tidak begitu ‘jelas’ yang diberikan oleh Mohd Shafie itu kemudian kembali di asak mengapakah beliau tidak tampil dengan kenyataan lebih tegas berhubung isu tersebut baru-baru ini.

Bagaimanapun, Mohd Shafie seperti tidak begitu senang kerana diasak sedemikian yang kemudian meminta media untuk ‘menyerang’ Anifah sahaja dalam perkara tersebut.

“Bila masa pula baru-baru ini? Ini bukanlah satu keutamaan ketika ini, saya sedang berdepan dengan pilihan raya ketika ini.

“Kita telah lakukan macam-macam termasuk ke mahkamah antarabangsa. Ini sebenarnya satu agenda politik sahaja, propaganda mereka (Anifah). Tapi orang Sabah bukan bodoh. Tanya apa pula Anifah sudah buat tentang perkara ini,” tegasnya. –MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Adakah mahu Sabah ditadbir oleh pemimpin penakut? – Anifah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Berita ini jika benar Sabah adalah hak Filipina maka rakyat perlu berlumba-lumba menyamun duit Malaysia macam Ketua…. sekarang ni…

Comments are closed.