KUALA LUMPUR – Jalan Petaling di Kuala Lumpur yang pernah menjadi tumpuan pelancong sebelum penularan wabak COVID-19 kini berwajah baharu sebagai Jalan Cari Makan.
Berlainan dengan imej Jalan Petaling yang dikuasai pekerja asing sebelum ini, jalan itu menawarkan pengalaman baharu iaitu gerai-gerai tidak lagi diusahakan tukang masak dari luar negara.
Pengerusi Persatuan Penjaja Kuala Lumpur, Datuk Ang Say Tee berkata, disebabkan wabak penyakit, jalan yang bersejarah itu telah kehilangan pelancong asing manakala penjaja telah kehilangan rezeki.
“Kami memperkenalkan konsep pasar malam supaya penjaja yang menjual barang lain kini boleh bertukar menjual makanan yang istimewa.
“Konsep ini diambil selepas mengkaji pasar malam dan budaya makanan ringan di Taiwan,” katanya kepada Oriental Daily.
Katanya, pertukaran wajah Jalan Petaling pada waktu malam bertujuan menyediakan peluang pendapatan kepada penjaja, selain mewujudkan destinasi makan-makan untuk pelancong domestik.
Jelasnya, persatuan penjaja akan menggunakan dua minggu untuk menilai konsep Jalan Cari Makan yang akan beroperasi dari pukul 3 petang hingga 9 malam.
“Jika sambutan menggalakkan, maka kami dapat melanjutkan waktu operasi kepada 12 tengah malam,” katanya.
Sebanyak 25 penjaja telah menyertai program transformasi itu, tetapi persatuan penjaja menyasarkan 60 gerai pada masa akan datang. – MalaysiaGazette