FGV

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) memberi peluang kepada 15 agropreneur anak tempatan untuk memajukan tanaman nanas MD2 di bawah projek FGV Chuping Agro Valley (FCAV) di Perlis.

FGV memperuntukkan kawasan ladang kontrak seluas 150 ekar untuk penanaman serta mensasarkan 4,000 metrik tan penghasilan buah nanas MD2 setahun dengan nilai hasil jualan RM12 juta.

Projek FCAV merangkumi empat segmen utama iaitu ladang kontrak nanas MD2, ladang ubi kayu komersial, ladang mangga harumanis dan lembah tenusu. Ia turut menempatkan kilang makanan ternakan haiwan, kompleks perumahan pekerja dan pusat penyelidikan kelapa sawit.

FCAV bakal dibangunkan mengikut jadual setelah FGV menandatangani memorandum kerjasama dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara pada majlis Komitmen Pelaburan di Negeri Perlis bersama Menteri Besar Perlis YAB Dato’ Seri Azlan Man, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, komitmen pelaburan FGV di FCAV yang berjumlah RM100 juta akan menjadikan Perlis pengeluar agro makanan premier negara.

Penglibatan FGV di sektor ini adalah untuk memperkasakan perniagaan pertanian berteraskan makanan.

Menurutnya, projek ini turut menyokong hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai agropreneur moden yang berpendapatan tinggi, sekaligus merancakkan perkembangan sektor pertanian dan makanan negara.

”FGV juga berbangga dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri Perlis dengan menyediakan pelbagai peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Selain tanaman nanas MD2 yang dijangka bermula penghujung tahun ini, projek perintis penanaman ubi kayu secara komersial pula akan bermula pada September 2020,” jelas Haris Fadzilah.

FGV memperuntukkan kawasan seluas 3,500 hektar untuk penanaman serta mensasarkan 50,000 metrik tan pengeluaran kanji ubi kayu setahun dengan nilai hasil jualan RM94 juta.

Ubi kayu dipilih sebagai salah satu tanaman komersial utama di projek ini untuk penghasilan kanji yang memiliki permintaan dan nilai komersial tinggi di pasaran dalam dan luar negara.

Pengeluaran bahan mentah daripada kanji ubi kayu ini dijangka dapat mengurangkan kebergantungan import kanji negara sebanyak 8% setahun.

Kanji ubi kayu merupakan bahan utama industri hiliran seperti pengeluaran maltodextrin, bio-ethanol, bio-fuel, bio-plastik, asid amino, bahan farmaseutikal dan lain-lain lagi.

Selain itu biomas tanaman boleh juga digunakan sebagai komponen makanan ternakan.

Projek FCAV dijangka membawa perubahan besar kepada lanskap industri pertanian di Perlis kerana menggunakan pendekatan Revolusi Industri 4.0. Ia menggabungkan teknologi pertanian terkini seperti penggunaan dron, sistem penanaman dan penuaian secara mekanisasi, konsep pembangunan mampan serta aktiviti bernilai tambah yang tinggi.

Keseluruhan pembangunan projek mengambil masa dua tahun dan akan berfungsi sebagai lokasi pelaburan, peluang pekerjaan, pembangunan modal insan dan keusahawanan, juga bakal mencetuskan industri hiliran bagi pelbagai produk agro terutamanya di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping dan negeri Perlis. – MalaysiaGazette