KUALA LUMPUR – LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM) telah membelanjakan lebih RM20 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih Menara Kuala Lumpur (KL) dalam tempoh tujuh hari selepas mengambil alih pengurusan menara itu.
Pengerusi Bukan Eksekutif Lim Seong Hai Capital Bhd (LSH Capital), Tan Sri Lim Keng Cheng berkata, kewangan yang kukuh membolehkan syarikat melaksanakan pemulihan segera, termasuk menaik taraf pelbagai kemudahan di Menara KL.
“Syarikat kami mempunyai rekod kewangan yang sangat kuat, kami dapat menggerakkan pekerja dan melaksanakan kerja-kerja baik pulih dalam masa yang singkat,” katanya pada sidang media pada pembukaan semula menara itu, hari ini.
Antara pembaharuan yang dilakukan ialah penggantian perabot seperti kerusi dan meja, peralatan dapur, ubah suai lantai, serta naik taraf sistem mekanikal dan keselamatan termasuk pemasangan jaringan kaca setinggi 1.8 meter demi keselamatan pengunjung.

Keng Cheng turut memaklumkan, keseluruhan pasukan arkitek dan jurutera telah diperbaharui bagi memastikan kerja baik pulih memenuhi standard tertinggi.
Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif LSHSM, Khairil Faizal Othman berkata, persediaan awal telah dibuat sejak syarikat menandatangani konsesi pengurusan KL Tower pada 10 Mac lalu.
Menurutnya, syarikat sudah bersedia mengambil alih seawal 1 April lalu, namun mengambil peluang daripada tempoh kelewatan operasi untuk memperkemaskan lagi persiapan.
“Walaupun operasi Menara KL terpaksa dihentikan sementara, kami terus melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha kami menetapkan piawaian baharu bagi menyaingi menara-menara lain di dalam dan luar negara,” ujarnya.
Beliau menambah, LSHSM optimis untuk terus meningkatkan standard pengurusan Menara KL sepanjang tempoh konsesi 20 tahun yang diperoleh, selaras dengan aspirasi menjadikan menara tersebut sebagai mercu tanda kebanggaan negara.
“Kami menganggap sebarang cabaran sebagai perkara biasa dalam dunia perniagaan.
“Persediaan kami sudah bermula sejak menerima bayangan berhubung tawaran konsesi ini tahun lalu,” jelasnya.
Sebelum ini, operasi Menara KL dihentikan buat sementara waktu bermula 17 April lalu untuk memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan. – MalaysiaGazette
















