DONG THAP (Vietnam) – Sebuah mahkamah di selatan Vietnam pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara 17 tahun secara keseluruhan terhadap dua lelaki kerana mengatur perjalanan keluar secara haram seorang warga Malaysia ke Kemboja, yang meninggal dunia selepas terjun dari kereta mereka di sebuah lebuh raya tahun lepas.
Agensi Berita Vietnam melaporkan bahawa Mahkamah Rakyat Wilayah 5 di Wilayah Dong Thap menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun terhadap Ngo Hoang Thanh, 34, dari Ho Chi Minh City dan lapan tahun terhadap Nguyen Hong Hai, 32, dari Wilayah Tay Ninh, atas kesalahan mengatur perjalanan keluar negara secara haram bagi orang lain.
Menurut pertuduhan, kira-kira 1.15 tengah hari pada 24 November 2025, pasukan peronda daripada Jabatan Polis Trafik di bawah Kementerian Keselamatan Awam menemui mayat seorang lelaki di Lebuh Raya Ho Chi Minh City – Trung Luong – My Thuan di My Loi Commune, Wilayah Dong Thap.
Mangsa dikenal pasti sebagai A.L.K.C., seorang warganegara Malaysia.
Siasatan polis mendapati Thanh dan Hai mengatur perjalanan keluar C dari Vietnam dan kemasukannya ke Kemboja secara haram.
Penyiasat berkata Thanh dan Hai direkrut serta diarahkan oleh anggota lain dalam rangkaian itu untuk mengambil warga asing selepas mereka memasuki Vietnam dan membawa mereka ke Stesen Bas Chau Doc di Wilayah An Giang. Mereka kemudiannya menyerahkan penumpang kepada pihak lain yang mengatur perjalanan mereka memasuki Kemboja melalui laluan tidak rasmi.
Thanh menerima bayaran antara US$1,000 hingga US$2,000 (kira-kira VND25 juta hingga VND50 juta) bagi setiap perjalanan keluar secara haram yang berjaya, sebelum berkongsi sebahagian bayaran itu dengan Hai mengikut persetujuan mereka.
Dalam kes C, mangsa memasuki Vietnam melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat di Ho Chi Minh City pada 24 November 2025. Thanh dan Hai kemudian mengambilnya dengan kereta dan memandunya menuju ke An Giang untuk mengatur perjalanan keluarnya secara haram ke Kemboja.
Hai memandu kenderaan itu manakala Thanh duduk di tempat duduk penumpang hadapan dan C. seorang diri di tempat duduk belakang.
Sepanjang perjalanan, C. dilaporkan semakin cemas dan menunjukkan tanda tekanan psikologi. Dia kemudiannya membuka pintu kereta dan terjun ke jalan raya, menyebabkan kecederaan parah yang membawa kepada kematiannya.
Siasatan oleh Agensi Siasatan Keselamatan Dong Thap mendapati bahawa C merupakan mangsa sebuah sindiket yang mengatur pergerakan warga asing secara haram ke Kemboja. Di sana, mereka dilaporkan direkrut untuk bekerja dengan syarikat dan organisasi yang terlibat dalam operasi penipuan dalam talian di sebuah wilayah autonomi.
Selain kes C, Thanh turut mengatur perjalanan keluar secara haram lima lagi warga asing dari Vietnam ke Kemboja dan memperoleh VND116 juta hasil kegiatan itu. Hai membantu Thanh membawa empat daripada mereka keluar dari Vietnam secara haram dan menerima VND19 juta. – BERNAMA-VNA/VNS
















