FRANKFURT, Jerman – Sebuah penerbangan Lufthansa dari Frankfurt ke Lisbon dilencongkan ke Lyon, Perancis selepas bateri powerbank milik seorang penumpang terbakar.
Syarikat penerbangan itu berkata, insiden yang mendebarkan itu berlaku pada hari Sabtu ketika pesawat Airbus A321-200 yang membawa 198 penumpang dalam perjalanan menuju ibu negara Portugal itu.
Jurucakap Lufthansa berkata, anak kapal segera mengasingkan bateri berkenaan di dalam beg pelindung khas yang direka untuk bateri litium dan tiada penumpang atau kru mengalami kecederaan.
Juruterbang kemudian memutuskan untuk melencongkan penerbangan ke Lyon sebagai langkah berjaga-jaga dan pesawat mendarat dengan selamat tanpa sebarang kejadian lanjut.
Perjalanan diteruskan pada haru Ahad selepas bermalam di sebuah hotel.
“Keselamatan penumpang dan kru kami sentiasa menjadi keutamaan Lufthansa,” kata syarikat itu.
Sejak Januari lalu, Lufthansa melarang penggunaan dan pengecasan bateri luaran di dalam pesawat, walaupun penumpang masih dibenarkan membawa sehingga dua unit bateri berkenaan ke dalam kabin, tertakluk kepada syarat keselamatan tertentu. – Agensi
















