RIYADH – Ibu bapa di seluruh Riyadh menerima mesej daripada pihak sekolah pada Ahad yang memaklumkan keputusan pada saat akhir untuk melaksanakan pembelajaran secara jarak jauh selama seminggu.
“Kami baru sahaja dimaklumkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi bahawa sekolah perlu kekal ditutup sepanjang minggu ini,” menurut dua mesej berasingan yang dilihat AFP.
Namun, tiada sebab rasmi diberikan berhubung keputusan itu, namun langkah berkenaan dibuat ketika ketegangan di rantau Teluk meningkat susulan serangan hampir setiap hari yang menyasarkan Arab Saudi oleh kumpulan Houthi di Yemen yang disokong Iran.
“Apabila keputusan memberi kesan kepada seluruh komuniti sekolah selama seminggu, keluarga berhak mendapat komunikasi yang jelas dan ketelusan mengenai sebab di sebaliknya,” kata seorang ibu bapa di Riyadh yang bercakap kepada AFP.
“Ini keputusan pada saat akhir. Kami tidak tahu apa yang sedang berlaku,” kata seorang rakyat Lebanon yang menetap di Riyadh.
Lewat hari Ahad, beberapa sekolah bagaimanapun memaklumkan sesi pembelajaran akan kembali melaksanakan pembelajaran secara bersemuka pada Isnin.
Pihak berkuasa Arab Saudi setakat ini tidak memberikan ulasan rasmi berhubung penutupan sekolah atau sebarang arahan untuk kembali kepada pembelajaran bersemuka minggu ini.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas pakatan diketuai Arab Saudi yang memerangi kumpulan Houthi di Yaman memaklumkan bahawa pihaknya memintas dron dan peluru berpandu balistik yang menyasarkan negara berkenaan.
Serangan itu merupakan yang terbaharu dalam siri serangan Houthi yang semakin meningkat sejak Julai lalu, apabila pertempuran kembali tercetus selepas gencatan senjata yang bertahan selama beberapa tahun runtuh dan menyebabkan Yemen terheret ke dalam konflik lebih besar di Asia Barat.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini mengutuk peningkatan serangan kumpulan Houthi terhadap Arab Saudi, dengan menyatakan serangan itu mencederakan “orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak”. – Agensi
















