Situasi bencana banjir di Bangkok. - Foto AFP

BANGKOK – Kesemua 50 daerah di Bangkok diisytiharkan sebagai zon bencana oleh Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) susulan hujan lebat berterusan yang menyebabkan banjir, gangguan lalu lintas serta menjejaskan kehidupan harian penduduk di ibu negara Thailand itu.

Gabenor Bangkok Chadchart Sittipunt berkata pengisytiharan itu diperluas daripada tiga daerah yang sebelum ini ditetapkan sebagai kawasan terjejas bencana kepada kesemua 50 daerah, bagi membolehkan agensi kerajaan, organisasi serta badan pentadbiran tempatan berkaitan melaksanakan tugas dengan pantas dan sistematik.

“Peluasan pengisytiharan itu dibuat susulan hujan lebat berterusan yang mengakibatkan banjir, kesesakan lalu lintas serta gangguan terhadap kehidupan harian penduduk Bangkok.

“Keadaan itu berpotensi mengancam nyawa, keselamatan serta harta benda awam dan kerajaan, justeru peluasan pengisytiharan meliputi kesemua 50 daerah dianggap perlu bagi memastikan pengurusan bencana yang berkesan dan operasi tindak balas dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Chadchart turut menggesa orang ramai supaya berada di rumah kecuali jika perlu melakukan perjalanan memandangkan beberapa jalan utama masih dinaiki air dengan teruk.

Beliau memberi jaminan bahawa semua petugas sedang bekerja pada kapasiti penuh untuk mengalirkan keluar air banjir dan memulihkan keadaan seperti biasa secepat mungkin.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Leftenan Jeneral Adul Boonthamcharoen berkata unit tentera di seluruh negara telah diarahkan menggerakkan sepenuhnya keupayaan masing-masing bagi membantu penduduk yang terjejas akibat hujan lebat dan banjir.

“Ketika ini, lebih 10,000 anggota beroperasi sepanjang masa di beberapa kawasan kritikal di seluruh negara, dengan sokongan lebih 1,000 trak dan kenderaan khusus bagi membantu penduduk tempatan serta agensi di peringkat wilayah,” katanya dalam kenyataan.

Adul menegaskan semua unit perlu memantau keadaan dengan teliti, memasuki kawasan terjejas dan menyalurkan bantuan kepada orang ramai secepat mungkin, sambil menegaskan semula bahawa Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera bersedia menyokong kerajaan dalam semua aspek seperti yang diperlukan.

“Dalam keadaan kritikal, bantuan mesti disalurkan tepat pada masanya. Apabila air surut, kita mesti membantu penduduk bangkit semula secepat mungkin,” katanya.

Hujan berterusan sejak pagi Jumaat menyebabkan banjir di Bangkok dan 20 wilayah lain termasuk Nakhon Ratchasima, Chanthaburi, Phetchabun, Chon Buri, Chachoengsao, Buri Ram, Surin, Sing Buri, Samut Prakan, Nakhon Sawan, Phichit, Rayong, Ang Thong, Chai Nat, Uthai Thani, Prachin Buri, Phra Nakhon Si Ayutthaya, Sa Kaeo, Phitsanulok, Suphan Buri dan Nakhon Phanom.

Media Thailand melaporkan pembelian panik mula berlaku di beberapa kawasan kejiranan apabila penduduk membeli bekalan keperluan asas sebagai persediaan berikutan kebimbangan keadaan banjir mungkin bertambah buruk.

Setakat tengah hari Sabtu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan di Bangkok, namun beberapa perkhidmatan e-panggilan berhenti menerima tempahan berikutan penutupan jalan, manakala beberapa kedai masih ditutup.

Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan hujan lebat hingga sangat lebat di beberapa kawasan di negara itu termasuk Bangkok dan wilayah sekitarnya sehingga 27 Sept, dengan amaran mengenai kemungkinan berlaku banjir kilat dan air bertakung di kawasan berisiko. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here