Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menjelaskan sejauh mana dasar keselamatan dan antibuli yang diperkenalkan benar-benar dilaksanakan di sekolah serta asrama seluruh negara susulan kematian seorang pelajar SMK Za’ba, Kuala Pilah selepas ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sekolah.

Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, tragedi berkenaan menimbulkan persoalan serius sama ada segala dasar, garis panduan dan kempen keselamatan serta antibuli yang diumumkan sebelum ini benar-benar berkesan atau sekadar baik di atas kertas.

“Mana pergi segala dasar, garis panduan dan kempen keselamatan serta antibuli yang diumumkan sebelum ini?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, KPM sebelum ini telah memperkenalkan Polisi Perlindungan Murid Sekolah dan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat, selain pelbagai mekanisme pencegahan serta pelaporan kes buli.

Katanya, persoalan yang perlu dijawab ialah sama ada semua mekanisme berkenaan benar-benar dilaksanakan secara menyeluruh di sekolah dan asrama.

“Jika sistem pemantauan benar-benar berfungsi, sejauh mana warden dan pihak sekolah mampu mengesan risiko lebih awal?

“Adakah saluran aduan benar-benar selamat dan diyakini murid? Siapa yang memastikan setiap sekolah mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan?” soalnya.

Sehubungan itu, Afnan Hamimi menggesa Menteri Pendidikan tampil menjelaskan tahap sebenar pelaksanaan serta pemantauan dasar berkenaan, khususnya di sekolah berasrama di seluruh negara.

“Jangan sekadar mengumumkan dasar selepas sesuatu tragedi, kemudian menunggu tragedi seterusnya untuk kembali bercakap mengenai keselamatan murid,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyeru semua pihak memberikan ruang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi menentukan punca sebenar kejadian tanpa mendahului dapatan pihak berkuasa.

DPPM turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar berkenaan dan berharap siasatan dapat dilakukan secara telus serta menyeluruh.

Menurut Afnan Hamimi, sekiranya siasatan menemukan unsur jenayah, kecuaian atau kegagalan mematuhi prosedur keselamatan, tindakan sewajarnya perlu diambil.

“Sekolah dan asrama mesti menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak kita. Dasar antibuli tidak boleh sekadar menjadi slogan.

“Jangan tunggu satu lagi nyawa terkorban sebelum kelemahan sistem diperbetulkan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here