SLIM RIVER – Pengorbanan pemimpin dalam Perikatan Nasional (PN) untuk mengambilalih kuasa daripada Pakatan Harapan (PH) tidak wajar dianggap sebagai pengkhianat .
Sebaliknya Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, mereka sepatutnya dianggap penyelamat untuk membentuk kerajaan yang diinginkan rakyat.
Jelas beliau, kerjasama dalam PN itu terbentuk dengan keikhlasan dan kejujuran selain tiada curiga antara satu sama lain.
“Kita perlu bersatu demi negara tidak kira untuk bangsa Melayu, Cina dan India dan kaum lain-lain.
“Bila kita hendak dapatkan kuasa kena lalui pilihan raya tapi lepas itu kita kalah dan ada orang yang menang.
“Kita terpaksa berkorban untuk ambil alih kuasa dan ada yang berkorban jadi penyelamat dah bukannya pengkhinat bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Ceramah 5 Setiausaha Agung Muafakat di Dewan Besar FELDA Trolak Utara di sini malam ini.
Turut hadir, Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa; dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hasan.
Hadir sama, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon dan Setiausaha Agung MIC, Datuk M. Asojan.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, Bersatu bersetuju untuk menerima jemputan menyertai MN daripada BN, Pas, MCA dan MIC kerana keikhlasan parti tersebut.
Jelas Menteri Dalam Negeri itu, ini kerana MN sedar mereka memerlukan gabungan yang lebih besar bukan di PRK ini sahaja.
Malah jelas beliau, MN yang besar akan berkerjasama pada mana-mana pilihan raya selepas ini. – MalaysiaGazette