Ketua Audit Negara (LKAN), Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid. foto HAZROL ZAINAL, 24 OGOS 2020.

PUTRAJAYA- Kementerian Pertahanan dilaporkan tetap menerima sembilan buah kenderaan Armoured Personnel Carrier (APC) untuk kegunaan misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) walaupun kenderaan tersebut tidak mengikut spesifikasi.

Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1 mendedahkan, disebabkan kegagalan mematuhi spesifikasi ditetapkan PBB itu, Kementerian Pertahanan telah mendedahkan anggotanya kepada bahaya dan tidak boleh menerima pulangan balik (reimbursement) penuh daripada PBB.

Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, kenderaan tersebut sepatutnya dilengkapi sistem senjata bersepadu bagaimanapun kenderaan yang diterima tidak mempunyai sistem berkenaan.

Tambahnya, disebabkan itu, PBB hanya membuat pulangan bayaran sebanyak RM2.03 juta sahaja kepada Kementerian Pertahanan berbanding RM4.25 juta mengikut perjanjian asal.

“Kalau ikut spesifikasi PBB mesti ada sistem senjata integral, bermakna sistem tersebut adalah sebahagian daripada APC berkenaan.

“Anggota dalam APC boleh tembak daripada dalam tetapi disebabkan kenderaan yang dibekalkan tidak mengikut spesifikasi maka anggota perlu keluarkan kepala, baru boleh membuat tembakan. Ini membahayakan anggota tetapi Kementerian Pertahanan terima juga walaupun berisiko kepada anggota.

“Ini juga adalah kerugian kerana jika APC tersebut mengikut spesifikasi PBB, meskipun harganya mahal tetapi kita akan dapat pemulangan wang penuh berbanding apa yang berlaku sekarang,” katanya semasa membentangkan LKAN 2019 Siri 1 di sini hari ini.

Tambah Nik Azman, APC-APC berkenaan tetap digunakan dalam misi Malbatt di Lebanon.

Selain itu, LKAN 2019 Siri 1 turut mendapati Kementerian Pertahanan gagal mengutip denda lewat berjumlah RM116.54 yang dikenakan kepada syarikat akibat kelewatan menyerahkan kapal peronda generasi kedua littoral combatant ship (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia selama kira-kira lapan bulan.

Kementerian Pertahanan juga telah membuat lebihan bayaran kemajuan LCS terbabit kepada syarikat berkenaan.

“Bayaran yang dibuat adalah RM910 juta atau 63 peratus kemajuan sedangkan kemajuan sebenar hanyalah 42 peratus.
“Ini menyebabkan Kementerian Pertahanan telah membayar lebih 21 peratus berbanding kerja sebenar,” katanya lagi.

Kementerian Pertahanan juga gagal mengutip denda lewat ke atas pembekalan pelancar Lightweigher Multiple Launcher- New Generation berjumlah RM15.04 juta.

“Mereka tempah 24 tetapi 20 pelancar lewat dibekalkan. Denda kelewatan juga tidak dikutip semasa audit dijalankan,” katanya. -MalaysiaGazette

4 Komen

  1. Macam tu laaa selalunya bila belanja bukan guna duit sendiri. Duit rakyat tu semua…terlebih bayar n tidak membuat tuntutan balik

  2. Kompany kroni kot….kerajaan gak yang rugi…..last skali rakyat gak yang tanggung….hampeh!!

  3. audit dan belanja 2018 dn 2019….kerajaan mana yang JAGUH MANDAT RAKYAT dan TOLAK RASUAH dn mesti telus masa itu?????

Comments are closed.