Bangunan Tabung Haji. foto HAZROL ZAINAL, 11 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kelewatan pembentangan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Tabung Haji (TH) 2018 berpunca daripada pelan Pemulihan dan Penstrukturan Tabung Haji oleh kerajaan terdahulu yang kompleks dan tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Keadaan itu menyebabkan proses pengauditan memakan masa yang agak lama sehingga menyebabkan kelewatan pembentangan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan TH.

Laporan tersebut yang dirancang dibentangkan pada Mac lalu hanya dapat dibentangkan di Parlimen pada hari ini.

TH dalam kenyataannya memberitahu,  Laporan Penyata Kewangan (TH) 2018 telah dihantar kepada Jabatan Audit Negara (JAN) pada April 2019.

Namun, Sijil Audit Bersih daripada Ketua Audit Negara hanya dikeluarkan pada 21 November 2019 dan pada masa yang sama, katanya, TH perlu melalui proses biasa dan mendapatkan ulasan dari agensi kerajaan yang berkaitan.

Menurut TH, ulasan-ulasan tersebut telah diperoleh pada 19 Disember 2019 dan diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada ketika itu untuk dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri, seterusnya di Parlimen setelah mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Disebabkan itu, TH memberitahu, Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan TH bagi Tahun 2018 (telah diaudit) tidak dapat dibentangkan pada tahun 2019 memandangkan Sidang Parlimen berakhir pada 19 Disember 2019.

”Perancangan asal adalah untuk laporan ini dibentang di Parlimen semasa sidang Parlimen bulan Mac 2020. Walau bagaimanapun, ia juga tidak dapat dilakukan kerana perubahan Kerajaan dan penangguhan sidang Dewan Rakyat semasa Perintah Kawalan Pergerakan.

”Oleh itu, laporan ini hanya dapat dibentangkan di Parlimen setelah diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri untuk dibentangkan pada 14 Ogos yang lalu,” kata TH yang turut memaklumkan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan TH bagi Tahun 2018 (telah diaudit) telah dibentang di Parlimen pada hari ini.

Bagi Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan TH bagi Tahun 2019, proses pengauditan masih lagi berjalan. Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan TH bagi Tahun 2019 akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri setelah pengauditan selesai sebelum dikemukakan ke Parlimen.

Sebelum ini, beberapa pihak mempersoalkan mengapa TH gagal membentangkan Laporan Tahunan diaudit tahun 2018 dan 2019.

Malah, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, kegagalan TH untuk berbuat demikian telah melanggar peruntukan Seksyen 5,6,7,8 dan 9 Akta Badan Berkanun (Akaun dan Laporan Tahunan) (Akta 240).

Kegagalan itu juga bercanggah dengan peruntukan Seksyen 26 Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) sendiri. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.