SHAH ALAM – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu lima prinsip Rukun Negara yang digubal pada tahun 1970 diperkasakan semula ke arah membina sebuah negara bangsa yang berdaulat dan disegani.
Menurut kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah hari ini, baginda berpandangan kurangnya penekanan terhadap Rukun Negara sejak tahun 80-an sehingga sekarang menyebabkan masih ada rakyat tidak mengamalkan asas-asas yang didukung menerusi prinsip tersebut.
Sultan Sharafuddin turut berpandangan masih kurang penghargaan dan apresiasi terhadap prinsip Rukun Negara diterapkan dalam agenda perpaduan nasional.
Justeru, Sultan Sharafuddin mahu lima prinsip Rukun Negara itu bukan sahaja dihafal tetapi terus dihayati, diamalkan dan dipraktikkan dalam kehidupan rakyat di negara ini.
Bagaimanapun, Istana Alam Shah menyatakan baginda gembira dan sukacita melihat perkembangan semasa apabila ada usaha-usaha serius untuk menerapkan prinsip Rukun Negara ke arah memperteguh keharmonian sesama kaum di Malaysia.
Menurut kenyataan itu, Sultan Sharafuddin percaya, sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, keteguhan perpaduan sedia ada mampu diperkukuhkan lagi sekiranya setiap rakyat memahami dengan sepenuh hati tentang sejarah dan perjuangan bangsa, terutamanya prinsip yang digariskan dalam Rukun Negara.
Pada masa sama, Sultan Selangor menyeru rakyat Malaysia supaya mengambil teladan daripada kaedah penghayatan dan pemahaman rakyat Indonesia terhadap prinsip nasional mereka menerusi ‘Pancasila’ yang diamalkan secara serius dan terbukti berkesan dalam memupuk semangat patriotisme.
Sultan Sharafuddin turut berkenan mengutus ucapan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-63 kepada seluruh rakyat Malaysia.
— BERNAMA