KUALA LUMPUR – Polis memeriksa 459 individu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman, bagi memastikan semua mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua mereka didapati mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Katanya, pemeriksaan dari rumah ke rumah individu yang menjalani proses kuarantin wajib itu diadakan setiap hari oleh anggota polis bersama petugas Kementerian Kesihatan.
Sementara itu, kata beliau, sehingga semalam, seramai 8,464 individu menjalani proses kuarantin wajib di Stesen Kuarantin yang melibatkan hotel dan lima Institut Latihan Awam di seluruh negara.
“Mereka yang menjalani kuarantin ini adalah rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara menerusi pintu masuk sempadan antarabangsa.
Mengenai jumlah individu yang ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Ismail Sabri berkata, semalam seramai 79 individu ditahan polis.
“Dari jumlah itu, 51 individu telah dikenakan kompaun, manakala 28 individu lagi direman,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Selain itu, ujarnya, sebanyak lapan tapak binaan di seluruh negara telah diperiksa oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Menurut beliau, dari jumlah itu, hanya satu tapak binaan dikenakan amaran kerana gagal mematuhi SOP ditetapkan.
Semalam juga, kata Ismail Sabri, polis menahan 79 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP.
Dari jumlah itu, seramai 51 individu dikenakan kompaun manakala 28 lagi direman untuk siasatan. – MalaysiaGazette