SLIM RIVER – Tindakan anggota polis yang didakwa tidak membenarkan beberapa orang warga emas memakai seluar pendek memasuki sebuah pusat pembuangan undi hari ini hanya bertindak mengikut arahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ketua Polis Daerah Muallim, Superitendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, apa juga tindakan pihaknya adalah atas nasihat dan panduan yang diberikan SPR di pusat mengundi yang kuasanya terletak kepada ketua tempat mengundi.
“Saya ingin jelaskan disini sebagaimana saya sebutkan, kita pihak polis membantu mengawal keselamatan di pusat mengundi, termasuk kawalan 50 mter di pagar pintu masuk pusat mengundi.
“Tetapi ingin saya tegaskan di sini peranan polis adalah hanya membantu petugas SPR yang berada di semua pusat mengundi,” katanya pada sidang media hari ini.
Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada SPR mengarahkan polis untuk menghalang pengundi berseluar pendek daripada masuk ke pusat undi beliau merasakan ia berlaku akibat salah faham.
“Saya tak boleh komen lebih lanjut. Mungkin ada salah faham yang berlaku tapi saya tetap menegaskan kita membantu di pusat mengundi,” tambah beliau.
Terdahulu, pagi tadi berlaku insiden tidak puas hati oleh beberapa pengundi warga emas apabila tidak dibenarkan masuk ke pusat pengundian di Sekolah Kebangsaaan Aminuddin Baki di sini untuk proses pengundian kerana memakai seluar pendek.
Mereka dihalang masuk oleh anggota polis yang berkawal di pintu sekolah itu.
Dalam pada itu, SPR dalam sidang medianya pagi tadi turut merasakan bahawa insiden yang berlaku terhadap warga emas terbabit mungkin disebabkan berlakunya salah faham antara kedua-dua belah pihak.
Menurut SPR, pemakaian seluar pendek ke tempat mengundi bukanlah satu kesalahan di bawah peraturan ke tempat mengundi. – MalaysiaGazette