Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz beramah mesra dan megucapkan terima kasih kepada peniaga di pasar pada hari pertama sebagai ADUN Slim selepas menang Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim ketika di Pasar Pagi Pekan Lama Slim, Perak. foto MOHD ADZLAN, 30 OGOS 2020.

SLIM RIVER – Wakil rakyat baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz mengakui kehilangan berat badan sejak berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu sejak 14 hari lalu.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim itu berkata, walaupun belum menimbang berat badannya, perubahan itu sudah dapat dirasai.

Malah bapa kepada empat anak itu berkata, ramai yang turut menegur keadaan fizikalnya yang semakin susut.

“Turun (berat) betul tapi belum timbang lagi. Tapi berdasarkan orang yang beritahu nampak kurus dan terasa juga.

“Pakai seluar longgar dan harap boleh turun dan jangan semakin besar,” katanya tersenyum.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat Pasar Pagi Slim River di sini hari ini

Sebelum ini ketika kempen, Mohd Zaidi Aziz mengakui hanya tidur kira-kira tiga jam sehari dan berkata, perkara itu bukan satu yang luar biasa dan menganggapnya berbaloi dalam kesibukan bertemu pengundi.

Pada masa sama, beliau turut berkongsi rahsia kekal cergas apabila mengamalkan minum air suam dalam kuantiti yang banyak dan mengambil suplemen untuk berkempen dari pagi hingga ke malam.

Malam tadi, BN menerusi Mohd Zaidi Aziz mengekalkan kerusi DUN Slim, selepas diumum menang dengan majoriti bergaya dalam PRK kali ini.

Beliau meraih 13,060 undi menewaskan dua calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (2,115 undi) dan Santhara Sekaran Subramaniam, yang memperoleh 276 undi.

Mohd Zaidi yang juga pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim itu memperoleh majoriti 10,945 undi berikutan 68.4 peratus keluar mengundi daripada 23,094 pengundi keseluruhan, dengan 327 kertas undi pula ditolak. – MalaysiaGazette