KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menganjurkan program Semarak Dakwah dengan pelbagai bentuk pengisian yang bermanfaat bersempena bulan kemerdekaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang hadir di Surau Al Makmur Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai, di sini merasmikan program itu pada malam ini.
Ketika menyampaikan ucapan perasmian, Zulkifli menyifatkan ‘Semarak Dakwah’ sebagai program yang perlu dicontohi dan dianjurkan dengan lebih kerap kerana bukan sahaja pengisiannya memberi dan menyebarkan agama (berdakwah), malah dapat membantu golongan asnaf khususnya.
“Apa yang Yadim kemukakan adalah satu perkara yang baik kolaborasi banyak pihak dengan Pejabat Mufti, Jabatan Ukur, surau boleh dibersihkan konsep seperti ini yang lebih penting menjadi tradisi yang baik,” katanya.
Semarak Dakwah ini diadakan serentak di Sabah, Sarawak, Kelantan, Pahang, Terengganu, Perlis, Johor dan Wilayah Persekutuan pada hari ini.
Program tersebut turut dilaksanakan dengan aktiviti-aktiviti komuniti seperti bergotong-royong mencuci surau, bertemu golongan yang memerlukan serta menghulurkan sumbangan, berdakwah, santai anak muda, kesedaran terhadap kesihatan dan banyak lagi.
Dr. Zulkifli menganggap penglibatan Yadim dalam program sebegini sebagai usaha bersungguh-sungguh yang turut membabitkan kerjasama para sukarelawan yayasan berkenaan.
Selain hadir pada acara perasmian Semarak Dakwah, Dr. Zulkifli turut ke Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur (PTGKL) dan Surau Al-Hijrah di Chow Kit, di sini.
Turut hadir Yang Dipertua Yadim, Nasruddin Hassan.
Nasruddin dalam pada itu berharap agar sukarelawan Yadim akan sentiasa bertambah agar Semarak Dakwah dapat dijayakan dari semasa ke semasa.
“Saya minta ramai lagi menyertai sukarelawan Yadim dapat bersama-sama kita. Kita sasar 10,000 orang. Sekarang ada 3,000 orang sukarelawan,” ujarnya. – MalaysiaGazette