Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berucap ketika flashmob peserta Siswa Umno sebagai tanda bantahan kerajaan terdahulu semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di pasar malam Pekan Slim River, Perak. foto MOHD ADZLAN, 27 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera Pas dari seluruh negara yang bertungkus-lumus membantu bagi memastikan kemenangan kepada Mohd Zaidi Aziz pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Slim.

Ketua Pemuda UMNO itu berkata, tanpa sokongan dan dukungan Pas sepanjang tujuh PRK, tidak mungkin Barisan Nasional (BN) dapat mencapai kemenangan besar dan bergaya.

”Terima kasih tidak terhingga kepada seluruh Jentera Pas dari seluruh Malaysia terutamanya Perak yang berkampung di Slim, bertungkus-lumus membantu siang dan malam, bergerak dari rumah ke rumah untuk memastikan kemenangan YB Mohd Zaidi Aziz, calon BN di PRK Slim,” kata Asyraf.

Menurutnya, sebagai sahabat seperjuangan, Pemuda UMNO juga bertekad akan membalas jasa Pas dengan mendukung dan menyokong calon-calon Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang bakal diadakan pada bila-bila masa nanti.

Keputusan PRK DUN Slim semalam menyaksikan BN mempertahankan kerusi itu selepas Mohd. Zaidi mencapai kemenangan besar.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim itu menang selesa dengan majoriti 10,945 undi apabila memperoleh 13,060 undi manakala dua pencabarnya dari bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, dan S. Santharasekaran, 44. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast